
Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid membidas kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyalahkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai punca kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan pada 2020.
Pakatan Harapan (PH) tetap menyalahkan Tun Dr Mahathir Mohamad susulan tumbangnya pentadbiran gabungan itu buat kali pertama dalam sejarah negara apabila menang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 2018.
Susulan kemenangan itu, Dr Mahathir sekali lagi dilantik menjadi Perdana Menteri Malaysia ketujuh atas kapasiti sebagai Pengerusi PH, namun meletak jawatan susulan kemelut dalam gabungan itu pada 2020.
Berikutan itu, Dr Mahathir sering menyalahkan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi punca kejatuhan kerajaan PH dan peletakan jawatan beliau, namun Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid menolak kenyataan itu.
Sebaliknya, Abdullah Sani yang juga Ahli Parlimen Kapar menegaskan bahawa sejarah negara mencatatkan kejatuhan kerajaan PH disebabkan Dr Mahathir meletak jawatan Perdana Menteri.
“Sebagai seorang negarawan, Mahathir jangan bersikap semberono membuat tuduhan untuk melepaskan diri dan mengalihkan tuduhan kepada orang lain.
“Mengapa buat kenyataan mengelirukan… umum mengetahui Dr Mahathir punca kerajaan PH runtuh dan ini terpahat sebagai catatan sejarah.
“Saya menyeru Dr Mahathir untuk bersikap jujur dan ikhlas dalam berpolitik,” katanya menurut BH.
Abdullah Sani juga menggesa Dr Mahathir berhenti daripada terus menyalahkan pihak lain sebagai punca kejatuhan kerajaan ditunjangi PH pada 2020.
“Dr Mahathir perlu mengakui dan bermuhasabah bahawa PH tumbang disebabkan tindakan beliau sendiri.
“Saya merujuk kenyataan Dr Mahathir terhadap Anwar kelmarin. Sekali lagi beliau (Mahathir) cuba mengaitkan orang lain atas kesilapan beliau sendiri yang menjatuhkan kerajaan PH.
“Dr Mahathir tidak sepatutnya menyalahkan orang lain untuk menanggung (kesalahan itu) terutama Anwar yang tidak punya sebarang jawatan dan kuasa eksekutif ketika itu,” katanya.
Jumaat, lalu dalam satu wawancara Dr Mahathir mendakwa Anwar sebagai punca kejatuhan pentadbiran PH pada 2020.
Ahli Parlimen Langkawi itu berkara, beliau seharusnya terus menjadi Perdana Menteri sekali gus dapat menghalang Barisan Nasional (BN) dan UMNO daripada kembali menduduki kepemimpinan kerajaan negara ketika ini.