Usul pemilihan UMNO selepas PRU, bukti Zahid lebih kuat

Langkah sayap UMNO membawa usul supaya pemilihan parti hanya dijalankan selepas pilihan raya umum (PRU) membuktikan pengaruh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi lebih kuat dikalangan akar umbi parti tersebut berbanding Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Sayap Pemuda dan Puteri UMNO sudah menyatakan pendirian masing-masing menggesa supaya pemilihan parti tidak diteruskan sebelum PRU, ia secara tidak langsung memberi isyarat Ismail Sabri bakal ditekan supaya membubarkan Parlimen lebih awal.

Pendirian sayap UMNO tersebut adalah cerminan cengkaman Zahid diperingkat akar umbi masih kuat dan Ismail Sabri berkemungkinan tidak berpeluang mencabar Zahid bagi merebut jawatan Presiden parti sebelum PRU diadakan terlebih dahulu.

“Nampaknya Zahid lebih berpengaruh, penyokongnya diperingkat akar umbi masih kuat dan memberi sokongan sepenuhnya kepada beliau.

“Usul-usul yang dibawa bakal memberi tekanan kepada Ismail Sabri untuk membubar Parlimen awal dan mengadakan PRU awal,” kata seorang pemimpin akar umbi UMNO kepada Agenda Daily.

Jika PRU diadakan lebih awal sebelum pemilihan UMNO, Ismail Sabri bakal bakal mencatat sejarah menjadi PM tersingkat dalam sejarah negara kerana ura-ura mengatakan beliau tidak akan dicalonkan semula untuk menjadi pemimpin nombor satu negara.

Langkah sekumpulan penyokong Ahli Parlimen (MP) Ismail Sabri yang mengadakan sidang media minggu lepas menunjukkan terdapat usaha untuk menghalang desakan supaya membubarkan Parlimen dengan segera bagi memberi laluan PRU diadakan.

Kumpulan diketuai Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Keluarga Malaysia (BBC), Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman  itu menyatakan sokongan kepada Ismail Sabri untuk terus mentadbir kerajaan sehingga habis penggal pada 2023.

Namun, dijangkakan usaha untuk mengekalkan Ismail Sabri bakal berdepan tentangan hebat penyokong akar umbi Zahid, usul supaya pemilihan diadakan selepas PRU bakal memberi implikasi kepada masa depan politik Ismail Sabri selepas ini.

Terdahulu, Sebanyak 176 bahagian Pemuda UMNO menggesa pemilihan parti itu diadakan selepas PRU-15z

Setiausaha Pemuda UMNO, Datuk Hasmuni Hassan, berkata bahagian terbabit juga meminta parti itu dan Barisan Nasional (BN) mengetengahkan lebih ramai calon baharu dan anak muda dalam menghadapi PRU-15.

Selepas kenyataan itu, sayap Puteri UMNO juga menyusul menyatakan pendirian sama dengan Pemuda.

Setiausaha Puteri UMNO, Asuma Beevi Mohamed Sali berkata, 171 bahagian bertegas mahukan jentera parti dipimpin dan difokuskan ke arah gerak kerja memenangi PRU-15 sebagai agenda utama parti serta mengadakan pemilihan parti selepas PRU.

“Ketidakstabilan parti menuju ke PRU-15 selepas pemilihan akan memberi impak negatif jangka panjang kepada parti dan rakyat khususnya,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, sumber Agenda Daily memberitahu sebelum ini, semasa mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO yang diadakan baru-baru ini selepas keputusan Mahkamah Rayuan melibatkan Datuk Seri Najib Razak dikekalkan, terdapat beberapa ahli MT yang berada dalam kem Zahid mendesak supaya PRU disegerakan.

Perkara itu membimbangkan kem Ismail Sabri yang berkemungkinan bakal disingkir dan akan menjadi PM tersingkat dalam sejarah.

Kes Najib menjadi topik utama dikalangan ahli MT UMNO yang menghadiri mesyuarat tersebut, majoriti tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut dan terdapat beberapa ahli MT yang membangkitkan langkah untuk mempercepatkan PRU susulan keputusan Mahkamah Rayuan paginya itu.

Ahli MT yang tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Rayuan terdiri daripada kumpulan sebelah kem Zahid yang diketahui juga berdepan pertuduhan di mahkamah sama seperti yang dihadapi Najib.

Untuk rekod, Zahid dan Najib berdepan puluhan pertuduhan di mahkamah yang sedang berjalan ketika ini.

Mesyuarat MT tersebut juga diadakan dengan tergesa-gesa, Zahid difahamkan mempertahankan Najib selepas keputusan mahkamah tidak memihak kepadanya.

“Zahid menyatakan rasa simpati terhadap hukuman yang dijatuhkan terhadap Najib, merasakan keputusan tersebut tidak adil dan berat sebelah,” kata sumber.

BERITA BERKAIT
POPULAR