Sayap pemuda PKR Johor bidas MUDA memilih kerusi, berani bertanding hanya di bandar

Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor membidas Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) kerana terlalu memilih kerusi yang mahu ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti sehingga menyebabkan rundingan dengan PKR tidak berjaya.

Ketua sayap pemuda PKR Johor, R Yuneswaran mempertahankan partinya itu sudah cuba sedaya upaya berunding kerusi dengan parti baharu yang ditubuhkan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bagi menghadapi PRN di negeri itu tetapi sebaliknya yang berlaku membuat permintaan yang sukar untuk dipenuhi PKR.

“Dalam perbincangan yang diadakan bersama MUDA, parti telah menawarkan tiga kerusi kepada mereka namun mereka tolak ketiga-tiga kerusi dan sebaliknya minta tiga kerusi yang lain.

“Adakah MUDA hanya mewakili suara rakyat bandar sahaja? Bagaimana pula kawasan luar bandar? Kenapa MUDA tidak mahu bertanding di kawasan yang mempunyai pengundi Melayu melebihi 78%? Apakah mereka takut pengundi Melayu akan tolak mereka dalam PRN Johor?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Yuneswaran juga mempertikai MUDA yang dilihat seolah-olah takut meletakkan calonnya di kawasan majoriti pengundi Melayu.

Terdahulu, Syed Saddiq mengumumkan rundingan pengagihan kerusi dengan PKR tamat tanpa persetujuan susulan langkah parti itu mengumumkan 20 calonnya secara bersendirian.

Ahli Parlimen Muar itu juga membayangkan kemungkinan berlakunya risiko pertindihan kerusi di Johor antara dua parti itu.

Bagaimanapun Syed Saddiq berkata, MUDA sudah memaklumkan kepada DAP dan Amanah supaya mengelakkan sebarang pertindihan kerusi MUDA-PKR dan pada masa sama terbuka untuk meneruskan rundingan dengan PKR bagi mencapai kata sepakat.

Tambah Yuneswaran, sekiranya parti MUDA mengangkat atau mewakili suara dan aspirasi rakyat, maka parti itu harus membuktikan mereka mempunyai sokongan di semua kawasan termasuk dari pelbagai latar masyarakat khususnya di luar bandar.

BERITA BERKAIT
POPULAR