
Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan.
Datuk Seri Mohamad Hasan mengesahkan bakal membuat penampilan bertanding di peringkat kerusi Parlimen pada pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) nanti, selain mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau yang disandangnya.
Mohamad berkata selaku Timbalan Presiden UMNO sewajarnya untuk beliau bertanding kerusi Parlimen, namun tidak mendedahkan secara jelas kerusi mana satu yang bakal ditandinginya nanti.
“Insya-Allah, saya akan terus pertahankan kerusi DUN Rantau pada PRU15 ini. Kerusi Rantau ini, imbangan penduduk itu menggambarkan seperti Malaysia, orang Melayu, Cina dan India itu ramai.
“Jadi ia perlu diuruskan dengan baik dan saya yakin pengundi di Rantau akan terus berikan sokongan kepada Barisan Nasional (BN).
“Memandangkan saya sebagai Timbalan Presiden parti, seharusnya juga saya perlu untuk bertanding di peringkat kawasan Parlimen, untuk saya memainkan peranan dan perlu berada di peringkat kebangsaan untuk mengurus parti dan insya-Allah jika diberikan keyakinan oleh pengundi untuk menubuhkan kerajaan di peringkat pusat,” katanya dipetik laporan Utusan Malaysia.
Terdahulu, terdapat spekulasi mengatakan Mohamad yang mesra dipanggil Tok Mat akan bertanding di kerusi Rembau, sesuai dengan kedudukan beliau sebagai Ketua UMNO Bahagian Rembau.
Untuk rekod, kerusi Parlimen ketika ini disandang oleh Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang juga Menteri Kesihatan.
Sementara itu, ketika diminta mengulas cadangan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun untuk tidak mahu membubarkan DUN sebelum bulan Mac tahun depan, Mohamad berkata, Aminuddin mempunyai kuasa itu untuk menasihati Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
“Beliau merupakan Menteri Besar, selaku ketua kerajaan negeri, beliau mempunyai kuasa untuk menasihati Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan,
“Sama ada untuk bubarkan DUN ataupun tidak terpulang pada beliau, kalau tidak buat sama pun tidak mengapa, buat bersendirian juga lebih elok nanti, terpulang kepada beliau,” katanya. –