
Tuduhan Ahli Parlimen Bagan menyatakan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendesak perlembagaan dipinda agar Pulau Pinang dikembalikan kepada Kedah adalah tidak berasas.
Sebaliknya, Muhammad Sanusi meminta agar kerajaan Persekutuan mempertimbangkan semula nilai pajakan yang perlu dibayar oleh Pulau Pinang kepada Kedah mengikut kadar semasa.
“Mereka dakwa saya melanggar perlembagaan, takkan minta harga pajakan ikut kadar semasa itu melanggar perlembagaan?” Ujar Sanusi kepada pihak media selepas selesai diambil keterangan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Wisma Darul Aman pada Rabu.
Tambahnya, beliau telah mengutuskan 3 pucuk surat kepada Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertemu bagi membincangkan beberapa perkara tentang negeri Kedah tetapi sehingga kini tidak dilayan.
Kata Sanusi, Perdana Menteri perlu membuat pertimbangan dengan adil dan saksama kepada semua negeri walaupun berbeza parti pemerintahan.
“Undang-undang tidak pernah menyatakan apabila parti kerajaan negeri sama dengan kerajaan Persekutuan baru boleh berlaku keadilan. Perdana Menteri perlu adil terhadap negeri Kedah,” tegas Menteri Besar.
Jelas Muhammad Sanusi, sebagai Menteri Besar, beliau tidak akan mudah patah hati dengan segala serangan dan akan terus membela nasib negeri Kedah.