Saya tahu rakyat merindui kerajaan BN, undilah kami di Melaka: Zahid

Tidak dinafikan rakyat semakin merindui kerajaan Barisan Nasional (BN) dan perkara itu diakui Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang meminta mereka menyokong gabungan itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka nanti.

Zahid yang juga Pengerusi BN berkata langkah pertama untuk mengubati kerinduan rakyat kepada BN perlu ditunjukkan dalam PRN Melaka nanti dengan memilih mereka sebagai kerajaan negeri baharu walaupun pemimpin UMNO sendiri menjatuhkan kerajaan negeri itu sebelum ini.

“Majoriti rakyat Malaysia berbilang bangsa dan agama merindui pentadbiran kerajaan BN.

“Maka PRN Melaka langkah pertama untuk mengembalikan apa yang pernah negara kehilangan,” katanya dalam kenyataan menerusi hantaran Facebook malam ini.

Jelas Zahid, walaupun ditolak rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu mereka tidak pernah merajuk, sebaliknya meneruskan perjuangan suci murni demi membela rakyat.

“Jelas keburukan yang diilustrasikan lawan semasa PRU-14 semata-mata permainan persepsi merebut kuasa. Malaysia tidak menuju negara bankrup, polisi dan dasar ekonomi BN terus diperakui, tiada masyarakat tersisih.

“Alhamdulillah BN tidak pernah merajuk dan berpaling daripada usaha mengembalikan kebenaran,” katanya lagi.

PRN Melaka diadakan susulan tumbangnya kerajaan negeri pimpinan UMNO setelah empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), termasuk dua daripada parti itu, menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Empat ADUN berkenaan ialah Datuk Seri Idris Haron (UMNO-Sungai Udang); Datuk Nor Azman Hassan (UMNO-Pantai Kundor); Datuk Norhizam Hasan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu); dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Teluk Mas).

Pada PRU-14, UMNO hanya memenangi 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Bersatu yang ketika itu bersama PH menang dua kerusi DUN, manakala PAS gagal merebut sebarang kerusi DUN.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 November manakala penamaan calon pada 8 November dan undi awal, 16 November.

BERITA BERKAIT
POPULAR