Saya sudah jangka ada niat jahat, kata Muhyiddin isu gambar serah RM5

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah menjangka akan ada pihak yang berniat jahat mendakwa beliau memberi rasuah kepada pengundi di Melaka susulan tular gambar beliau menyerahkan baki wang kepada seorang pembeli di Gerai Prihatin Rakyat, semalam.

Menurut Presiden Bersatu itu beliau tidak sebodoh itu untuk memberi rasuah kepada pengundi di Melaka ketika demam Pilihan Raya Negeri (PRN) semakin terasa.

Menjelas keadaan sebenar Muhyiddin berkata beliau sedang memulangkan baki wang kepada seorang lelaki yang membeli barang ketika Program Gerai Prihatin Rakyat yang disediakan PN di kawasan itu.

Menceritakan lebih lanjut beliau berkata:

“Saya duduk dengan Mohd Rafiq (Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen). Mereka ini nak (beli barang). Dia bagi RM20, satu barang tu RM15, jadi saya serah (baki) kepada dia.

“Saya dah agak, mesti ada orang niat jahat kata tengok Tan Sri Muhyiddin bagi rasuah. Tak ada, itu niat baik, itu duit baki. Kalau mereka nak beli tiga barang RM45, pulang balik RM5.

“Takkan saya sebodoh itu.”

Beliau berkata demikian ketika mengulas fitnah dilemparkan pihak tertentu, terutama tentera siber UMNO yang mengatakan bekas Perdana Menteri itu memberi rasuah kepada pengundi Melaka, susulan tular gambar yang menunjukkan beliau menghulurkan RM5 kepada individu berkenaan.

Antara tentera siber UMNO yang membuat fitnah Muhyiddin memberi wang kepada orang ramai di Melaka ialah Rafi Awg Kechik dan Akmar Hisham Mokhles. Kedua-duanya memuat naik fitnah itu di laman Facebook masing-masing sebagaimana gambar di atas. Berita berkaitan

Mengenai Gerai Prihatin Rakyat yang didakwa sebagai medium kempen PN pada PRN Melaka, Muhyiddin menjelaskan inisiatif itu sudah digerakkan sejak enam bulan lalu bagi membantu rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

“Sewajarnya mungkin sebab mereka iri hati, kalau ada pun mereka iri hati dengan Datuk Mohd Rafiq yang mulakan, bukan baharu, dah enam bulan berlangsung dan masih berterusan.

“Ini perkara amat saya hargai kerana mereka teruskan usaha pihak kerajaan beri bantuan kepada ramai orang Melaka memerlukan bantuan barangan lebih berpatutan harga sederhana diberikan kemudahan.

“Jadi saya fikir tidak ada salah. Yang penting mereka hargai usaha sebegini untuk menolong rakyat. Apa kerajaan buat, parti kita buat, itu langkah sewajarnya langkah harus dihargai semua pihak,” katanya.

PRN Melaka akan diadakan 20 November ini setelah Yang di-Pertua Negeri Tun Mohd Ali Rustam membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 4 Oktober lalu.

Pembubaran itu dilakukan setelah empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), termasuk dua daripada UMNO, menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Sebelum ini, empat ADUN, Datuk Seri Idris Haron (UMNO-Sungai Udang); Datuk Nor Azman Hassan (UMNO-Pantai Kundor); Datuk Norhizam Hasan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu); dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Teluk Mas), menarik sokongan terhadap Sulaiman dan kerajaan UMNO.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 8 November ini sebagai hari penamaan calon diikuti pengundian awal pada 16 November dan pengundian biasa 20 November depan.

BERITA BERKAIT
POPULAR