Saya serah Majlis Presiden PH tentukan kawasan bertanding: Idris

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron menyerahkan kepada Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) bagi menentukan kawasan yang akan ditandinginya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka nanti.

Idris berkata sedia menerima sebarang keputusan yang diputuskan oleh PH berhubung kerusi yang akan diberikan kepadanya untuk bertanding atas tiket gabungan tersebut kerana kuasa terletak pada pemimpin atasannya.

“Begitu juga keputusan majlis berkenaan berhubung sama ada kami layak menjadi calon mewakili PH pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 November ini.

“Saya serahkan kepada Majlis Presiden PH untuk menentukan segala-galanya kerana saya dan Nor Azman (Datuk Nor Azman Hassan) tiada apa-apa kuasa. Bukan seperti Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka yang bebas memilih kerusi mana yang dia hendak bertanding,” katanya dipetik laporan portal BH hari ini.

PH difahamkan sudah memuktamadkan untuk meletak dua bekas ADUN UMNO tersebut untuk bertanding atas tiket mereka, ia selepas PKR dan Amanah mendesak supaya menerima cadangan tersebut.

Bagaimanapun, DAP dilihat tidak sependapat dengan dua parti rakan PH namun akur dengan keputusan majoriti yang diputuskan dalam mesyuarat Majlis Presiden PH baru-baru ini.

Idris sebelum ini dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang, sementara Nor Azman menang kerusi Pantai Kundor.

PRN Melaka diadakan susulan tumbangnya kerajaan negeri pimpinan UMNO setelah empat ADUN, termasuk dua daripada parti itu, menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Dua lagi bekas ADUN yang menarik sokongan adalah Datuk Norhizam Hasan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu); dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Teluk Mas).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 November manakala penamaan calon pada 8 November dan undi awal, 16 November.

BERITA BERKAIT
POPULAR