Saya rasa suara Zahid, kata Ku Li

Veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah percaya Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi adalah salah seorang daripada individu yang bercakap di dalam klip audio yang heboh diperkatakan sekarang.

Katanya, jika klip audio itu tulen dan memang Zahid salah seorang daripada individu terbabit, maka beliau mesti melepaskan jawatan Presiden UMNO.

Terdahulu, Agenda Daily melaporkan berhubung satu klip audio suara mirip Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Zahid sedang berbincang strategi politik ketika PAU baru-baru ini.

Dalam klip audio tersebut, Zahid memuji Anwar dengan menyifatkan beliau sebagai ‘cikgu’ yang mengajarnya dalam memberikan ucapan hebat. Anwar sememangnya terkenal dengan kehebatan berdebat dan pidato.

Perbualan antara kedua-duanya sangat mesra dengan mereka saling bertukar-tukar pandangan berhubung ucapan perwakilan UMNO ketika PAU berlangsung.

Memetik laporan sebuah akhbar, Tengku Razaleigh yang lebih dikenali dengan panggilan Ku Li berpendapat perbuatan Zahid itu jika benar, sememangnya tidak bertanggungjawab.

“Pada pandangan saya tak baguslah, seorang pemimpin patut tidak berlagak macam itu. Dia mesti lebih bertanggungjawab sebab orang meletakkan harapan kepada dia untuk memimpin dengan lebih baik.

“Jangan dia ambil mudah. Mengenai rakan audio ini, tak tahulah betul atau tak tapi dengar suara macam dia punya suara. Kalau benar itu suara dia, kalau benar dia mempunyai niat macam itu. Sebagaimana suara dia sememangnya dia tidak bertanggungjawab, tidak layak kekal di situ,” katanya.

POPULAR