
Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik dimeterai antara kerajaan dan Pakatan Harapan tidak disambung lagi selepas tamat 31 Julai 2022.
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi isyarat jelas tidak ada lagi perjanjian atau memorandum persefahaman (MoU) baharu yang akan disambung antara kerajaan dengan blok pembangkang, Pakatan Harapan (PH).
Perdana Menteri berkata akan akur dengan pendirian partinya, UMNO yang sudah membuat ketetapan supaya tiada MoU 2.0 akan dimerterai dengan PH walaupun terdapat usaha untuk menyambung MoU 2.0 yang baharu selepas tamat pada 31 Julai ini.
“Soal sambung tak sambung (MoU) tak penting, yang pentingnya sekarang adalah soal persefahaman untuk kepentingan rakyat masih boleh kita teruskan. Kerjasama bertulis tidak ada lagi lepas ini.
“Kita sama-sama bersetuju untuk tidak ada perjanjian atau persefahaman baharu. Saya pun mesti akur dengan keputusan parti saya. Saya sudah maklumkan kepada mereka (pemimpin PH), UMNO sudah buat ketetapan tidak sambung.
“Tapi dari segi perjanjian secara bertulis, semua sudah bersetuju tidak perlu ada perjanjian bertulis baru, tapi persefahaman untuk kepentingan rakyat kita boleh diteruskan bagi menjamin kestabilan politik,” katanya dipetik laporan BH hari ini.
Ismail Sabri terdahulu merasmikan Majlis Sambutan Jubli Perak 25 tahun PTPTN.
Sebelum ini, Pengerusi PH yang juga Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menjelaskan tarikh akhir MoU itu belum muktamad kerana dokumen berkenaan tidak menetapkan tarikh akhir, sebaliknya hanya menyebut tarikh membabitkan pilihan raya umum ke-15 (PRU-15).
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, pula dilaporkan berkata, Majlis Tertinggi (MT) parti itu memutuskan tidak akan melanjutkan MoU terbabit, selepas 31 Julai.
Berdasarkan semakan, dokumen MoU Transformasi dan Kestabilan Politik menjelaskan dokumen itu hendaklah berkuat kuasa dari tarikh ia ditandatangani dan terpakai hingga pembubaran Parlimen Ke-14.
Dokumen itu juga menjelaskan kerajaan bersetuju tidak akan mengusulkan pembubaran Parlimen sebelum 31 Julai ini.
Bagaimanapun, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi juga berkali-kali sudah memberi isyarat kepada Ismail Sabri agar segera membubarkan Parlimen bagi memberi laluan PRU-15 diadakan.
Bagaimanapun, difahamkan sehingga hari ini masih belum ada perbincangan antara lima pemimpin tertinggi UMNO diadakan untuk menentukan tarikh PRU, ia walaupun semasa Perhimpunan Agung Khas sebelum ini ketetapan sudah dibuat supaya “Top 5” berunding.