
Tan Sri Noh Omar.
Tan Sri Noh Omar menerima keputusan pemecatannya dengan terbuka hati demi tidak mahu bersekongkol dengan pemimpin yang menguburkan UMNO.
Noh yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO dipecat malam tadi atas alasan melanggar disiplin parti semasa mesyuarat dipengerusikan oleh Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
“Saya tidak sanggup tinggalkan parti keramat ini, tapi saya memilih untuk tidak bersekongkol dengan pemimpin yang menguburkan UMNO.
“Saya bersuara, akhirnya dihukum tanpa diberi ruang membela diri,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Spekulasi berhubung pemecatannya terjawab malam tadi apabila nama Noh termasuk dalam senarai pemimpin dan ahli UMNO yang didakwa melanggar disiplin parti itu.
Noh juga menghadiri mesyuarat MT yang berlangsung malam tadi, pada mulanya beliau digantung keahlian selama enam tahun tetapi sebaliknya mencabar Zahid untuk memecatnya sahaja.
Susulan cabaran tersebut, Noh memberitahu Zahid bertindak memecatnya serta-merta daripada parti tersebut.
Selain Noh, turut menerima nasib sama dipecat parti adalah bekas Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, sementara bekas Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Hussein pula digantung parti selama enam tahun.
Turut dikenakan tindakan, penyandang Timbalan Ketua Pemuda UMNO, Shahril Hamdan Suffian yang juga digantung keahlian bersama-sama seorang lagi Ahli MT, Fathul Bari Mat Jahya; bekas Ahli Parlimen Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Sharif dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tiram, Datuk Maulizan Bujang.
Selain itu, Datuk Seri Hasni Mohammad juga digugurkan sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Johor dan digantikan dengan Naib Presiden, Datuk Seri Khaled Nordin.