
Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM) Larry Sng.
Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM) Larry Sng menafikan kenyataan presiden menunggu parti itu Datuk Zuraida Kamaruddin bahawa PBM tidak akan meletakkan calon di Sarawak pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.
Sambil menegaskan bahawa beliau adalah Presiden PBM, Larry berkata beliau akan mempertahankan kerusi dimenanginya pada PRU-14 di kawasan Parlimen Julau di Sarawak.
Terdahulu, Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang berkata keputusan tidak meletakkan calon PBM di Sarawak dibuat kerana parti itu telah memohon menjadi komponen Barisan Nasional (BN).
“Kami masih menunggu kelulusan selepas permohonan sudah dimajukan untuk menyertai BN… BN tiada di Sarawak, bermakna PBM tidak akan meletakkan calon di negeri ini pada PRU-15,” kata Zuraida di Kuching, hari ini.
Larry memenangi kerusi Parlimen Julau ketika bertanding sebagai calon Bebas pada PRU-14, dengan menewaskan penyandang kerusi itu Datuk Joseph Salang Gandum dengan majoriti 1,931 undi.
Sejurus memenangi kerusi itu, beliau menyertai PKR pada 2018 dan dilantik sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri pada 2020.
Larry kemudian meletak jawatan dan keluar daripada PKR pada 28 Februari 2021 dan menjadi Ahli Parlimen Bebas yang menyokong Perdana Menteri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Mengulas lanjut, Larry memberitahu FMT bahawa beliau tetap akan bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Julau pada PRU-15.
“Saya adalah presiden parti, bagaimana saya tak tahu di mana saya bertanding atau tidak bertanding, itu tak elok.
“Apa yang sudah diputuskan dari parti adalah, parti akan bertanding di semua kerusi ada wakil rakyat PBM,” katanya lagi.
Larry juga berkata, tidak timbul soal pencalonan di mana-mana kawasan kerana BN belum membuat sebarang keputusan mengenai permohonan PBM.
“Sekarang kita belum sampai sana, dan tak semestinya ia akan berlaku sebelum PRU-15, kalau BN belum buat apa-apa keputusan, saya rasa soalan ini tak payah dijawab,” katanya.