
Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Penyandang kerusi Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata sebagai anak tempatan beliau mempunyai kelebihan untuk ‘menjaga’ pengundi di situ berbanding ‘orang luar’.
“Saya memang anak jati di Tambun. Walaupun selepas berakhirnya PRU-15 kelak, menang atau tidak saya tetap di sini. Kita raikan sesiapa sahaja yang mahu bertanding di sini.
“Sudah tentu menjadi calon anak tempatan memberi kelebihan kepada saya kerana sejak 2018 di Tambun inilah saya banyak luangkan masa dan rapat dengan mereka (pengundi) kerana saya jaga Tambun,” katanya kepada Bernama.
Pada PRU14, Ahmad Faizal yang bertanding atas tiket Pakatan Harapan (PH) menggunakan logo PKR menang dalam pertembungan tiga penjuru menentang calon BN dan PAS selepas meraih 38,661 undi dengan majoriti 5,320 undi.
Ahmad Faizal yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perak berkata strategi meletakkan calon tempatan dijangka akan memberikan kelebihan dan membuahkan hasil kerana mereka sentiasa berada bersama rakyat pada masa susah dan senang sebelum ini.
Pada Khamis, Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan akan bertanding di kerusi Parlimen Tambun pada PRU-15.
Dalam pada itu, Ahmad Faizal yang juga Menteri Belia dan Sukan dalam satu kenyataan hari ini mempersoalkan pendirian Anwar terhadap dua suspek kes culik warga Palestin disyaki terbabit dengan ejen perisikan Israel, Mossad yang mengibarkan bendera PKR.
Katanya, penafian dibuat Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil sebelum ini bersifat defensif yang juga tidak menafikan kebenaran penculik itu sebenarnya penyokong PKR-PH.
“Ini membawa balik kepada persoalan besar, apakah sebenarnya pendirian Anwar Ibrahim dan PH terhadap rejim zionis Israel? Adakah Anwar masih berpendirian bahawa beliau akan menyokong kesemua ikhtiar untuk membela keselamatan negara zionis Israel itu daripada apa-apa ancaman keselamatan, seperti kenyataan beliau kepada Wall Street Journal pada 2012?
“Kenyataan itu juga dikecam oleh Duta Palestin Abdelaziz Abhughosh pada 30 Januari 2012. Persoalan ini menjadi lebih serius memandangkan Anwar dinamakan calon perdana menteri bagi PH bagi PRU-15. Adakah beliau sedia menarik balik kenyataan beliau itu serta berjanji kepada rakyat tidak akan berkompromi dengan Israel?” katanya.
Beliau turut mempersoalkan pendirian DAP-PH mengenai status negara zionis Israel susulan kenyataan dibuat Ahli Dewan Negara DAP pada 2019 yang mencadangkan Malaysia membuka kedutaan di Israel.
“Seterusnya apakah pendirian DAP atau PH berkenaan status negara Zionis Israel apabila pada tahun 2019, salah seorang Ahli Dewan Negara DAP, Nga Hock Cheh telah mencadangkan Malaysia supaya membuka kedutaan di Israel.
“PKR dan PH tidak wajar terus berdiam mengenai isu penting ini yang melibatkan keselamatan negara,” katanya.