
Datuk Mohd Puad Zarkashi disaman kerana membuat fitnah.
Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO Datuk Puad Zarkashi yang juga pengikut setia Presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dikatakan bakal dilantik sebagai Menteri Besar (MB) Johor jika berjaya memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Mac.
Perkara itu didedahkan Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan yang berkata perkara itu dimaklumkan beberapa individu yang ditemuinya semasa turun berkempen di Rengit, kawasan yang ditandingi Puad.
“Semasa saya ke Rengit baru-baru ini, saya mendengar khabar bahawa Datuk Mohd Puad Zarkashi telah beberapa minggu giat melobi untuk menjadi Menteri Besar menggantikan Datuk Hasni Mohamad sekiranya UMNO menang.
“Khabarnya, antara hujah yang digunakan adalah, sebagai Ahli MT yang dilantik sendiri oleh Zahid Hamidi, dia boleh membawa UMNO Johor lebih rapat dengan agenda presiden UMNO berbanding Datuk Hasni,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.
Jelasnya lagi, lantikan Puad itu sebagai ganjaran terhadap kesetiaan yang ditunjukkannya kepada Zahid dan bekas Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Najib Razak.
“Dan Puad dikatakan telah menunjukkan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada Zahid dan Najib, maka sekarang adalah masa untuk menerima ganjaran,” katanya lagi.
Puad merupakan bekas Ahli Parlimen Batu Pahat dari tahun 2008 namun tewas di kerusi itu pada 2013.
Rengit ialah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam kawasan Parlimen Batu Pahat.
Pada PRN ini, Puad berdepan calon PN, Mohammad Huzair Lajis, Khairuddin A Rahim daripada PKR dan Nizam Bashir Abdul Kariem Bashir daripada Pejuang.