
Annuar dipecat daripada UMNO pada 8 Disember 2023.
Kekecewaan diluahkan Tan Sri Annuar Musa dalam satu coretan hantaran Facebook dengan mengiibaratkan cuba memadam sebuah rumah yang sedang terbakar tetapi malangnya ditarik keluar dari rumah tersebut.
Annuar yang juga Ketua UMNO Bahagian Ketereh difahamkan dipecat UMNO selepas mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) semalam dipengerusikan Presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Annuar dalam perkongsian di Facebook pagi ini, memberi isyarat terhadap kekecewaan itu sambil berkongsi gambar membantu kempen Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bagi kerusi Parlimen Padang Serai.
“Malam Jumaat, saya bermimpi. Rumah pusaka saya diami terbakar. Saya syak ada ‘main switch’ (suis utama) dah ‘short circuit’ (alami litar pintas) atau wayarnya terputus. Saya sayang rumah itu. Saya cuba memadam kebakaran supaya jangan lebih ramai penghuninya lari.
“Ketika api masih marak dan ramai yang terus lari meninggalkan rumah, tiba-tiba saya ditarik keluar dari api yang membakar. Kini saya hanya mampu melihat kebakaran dari luar.
“Walaupun saya amat sayang rumah itu,saya hanya mampu berdoa,” katanya memohon supaya ‘rumah’ yang terbakar itu diselamatkan.
Annuar sebelum mengkritik kepimpinan Zahid khususnya berkaitan usaha jajaran baru yang dibentuk oleh antara Barisan Nasional (BN) serta Pakatan Harapan (PH).
Dalam mesyuarat malam tadi, selain Annuar, dua lagi pemimpin akar umbi yang dikenakan tindakan sama adalah Ketua Wanita UMNO Bahagian Arau, Datuk Seri Shamsiah Yasin, serta Ketua Wanita UMNO Bahagian Maran, Datin Seri Fatimah Kassim.
Shamsiah dan Fatimah bulan lalu digantung sementara seluruh jawatan mereka atas dakwaan terbabit secara langsung atau tidak langsung, menyokong calon parti lawan pada PRU-15.
Shamsiah adalah isteri bekas Ketua UMNO bahagian itu, Datuk Seri Shahidan Kasim, yang memenangi Parlimen Arau dalam PRU-15 atas tiket Perikatan Nasional (PN), selepas dia digugurkan oleh BN daripada mempertahankan kerusi terbabit.
Fatimah pula adalah isteri kepada Datuk Seri Ismail Abd Muttalib, yang turut bertanding atas tiket PN dalam PRU-15.