
Khairy Jamaluddin menerima mesej daripada Mohamad Hasan untuk memberi laluan di Parlimen Rembau pada PRU-15.
Kerusi Parlimen Sungai Buloh yang ditandingi Khairy Jamaluddin Abu Bakar pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) hanya disahkan pada saat akhir oleh partinya.
Mendedahkan berhubung pemilihan kerusi Sungai Buloh tersebut, Khairy yang juga Menteri Kesihatan itu berkata terpaksa mencari kawasan sendiri untuk ditandingi dengan terpaksa berunding bersama MIC dan juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Tan Sri Noh Omar.
“Saya ditinggal begitu saja. Saya tahu kena keluar dari kawasan Rembau jadi pada waktu itu saya tiada pilihan, saya ambil inisiatif sendiri.
“Jadi, saya mengambil inisiatif untuk (berjumpa) dengan Noh Omar dan Vicky (Presiden MIC Datuk Seri SA Vigneswaran).
“Tiada banyak kerusi (Parlimen), hanya dua tiga yang tinggal ketika itu. Jadi saya kata, tak apalah saya pilih Sungai Buloh. Bukannya dari awal saya pilih (untuk bertanding di Parlimen Sungai Buloh),” katanya dipetik laporan media.
Khairy mendakwa dibiarkan begitu sahaja kerana beliau bukan merupakan seorwng pemimpin yang digemari Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kerana sering berbeza pandangan.
“Saya bukan orang kegemaran presiden kerana saya bukan ‘yes man’,” katanya lagi.
Terdahulu, Zahid mendedahkan Khairy yang juga bekas Parlimen Rembau yang sendiri meminta untuk bertanding di Sungai Buloh.
Jelasnya, tiada siapa memaksa atau mendesak Menteri Kesihatan itu bertanding di kawasan berkenaan.
“Khairu yang minta diberikan peluang bertanding di sana dan saya tunaikan permintaannya,” katanya.