Saya berhenti sementara dari PAS, tak akan sertai UMNO: Khairuddin

Ahli Parlimen Kuala Nerus Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, yang mengisytiharkan keluar daripada PAS serta-merta dua hari lalu, malam tadi berkata beliau hanya berhenti sementara sebagai ahli parti itu.

Selain tidak akan melepaskan jawatan Ahli Parlimen (MP), beliau juga menegaskan tidak akan sama sekali menyertai UMNO atau bersedia menubuhkan sebuah parti baharu.

Dalam temu bual khas Ruang Bicara di Bernama TV, malam tadi, beliau berkata ada perkara yang beliau tidak boleh nyatakan dan betulkan selagi masih berada di dalam PAS kerana parti mempunyai perlembagaan dan disiplin sendiri.

“Ada banyak kecelaruan dalam parti , saya tidak salahkan ahli, ini bukan isu membabitkan ahli akar umbi atau kepemimpinan di kawasan atau bukan Dewan Undangan Negeri (DUN), negeri tetapi ini isu pengurusan parti peringkat pusat.

“Saya sudah cuba betulkan di peringkat Jawatankuasa Pusat, melalui jawatan saya sebagai Pengarah Institut Strategik PAS Pusat dan ahli Majlis Syura Ulamak selaku Setiausaha.

“Segalanya perkara sudah saya bawa melalui saluran yang ada dan kemukakan dan bincangkan secara dalaman, tetapi dibocorkan dan menjadi fitnah kepada saya, sedangkan sebagai ahli parti saya menjalankan tanggungjawab dan saluran yang ada tetapi kemuncaknya digugurkan dan akhirnya saya mengambil keputusan berhenti sementara daripada PAS,” katanya.

Khairuddin menjelaskan beliau bukannya meninggalkan terus parti itu sebaliknya akan kembali semula kepada PAS apabila tiba masa sesuai selepas misinya selesai dan diterima semula parti.

“Saya berhenti menjadi ahli ada tujuan dan matlamat tertentu yang mana saya akan mengukur keadaaan dari masa ke semasa, sehingga berjaya mengajak PAS membetulkan kepemimpinan parti dan parti menang dengan cara terbaik.

“Saya tidak akan masuk UMNO,…selagi UMNO menjadi rakan dalam Muafakat Nasional (MN), saya boleh mesra selagi UMNO terus mengikut dasar dipersetujui MN… kekal bersama menjalankan budaya politik matang sejahtera,” katanya.

Bekas Setiausaha Majlis Syura Ulamak PAS itu berkata beliau akan ‘membayar’ kifayah sumpah baiah yang dibuat sebagai MP parti itu.

Ditanya sama ada tindakan beliau meninggalkan parti sebab merajuk selepas beliau digugurkan sebagai Ahli Jawatankuasa Pusat parti, katanya beliau tidak merajuk dan jika merajuk sekali pun beliau sudah bertindak seawal digugurkan sebagai AJK PAS Pusat.

“Saya mengambil tindakan membakar diri kerana saya sayangkan PAS dan ahli PAS…saya sudah bersama PAS kira-kira 33 tahun sejak usia 16 tahun lagi.

“Apa mereka nak cakap itu hak mereka, saya cuma mahu memberikan pesanan AJK untuk buat yang terbaik dan jangan sia-sia kesempatan yang ada, gunakan mesyuarat dan muktamar akan datang untuk bawa cadangan dan betulkan parti bukannya bersikap menafikan atau ‘sindrom denial ‘ dan menyorok.

“Biar kita malu sekarang, tetapi tujuan asal kita kekal menjadi untuk membawa Islam secara bersama dan berkongsi keluarga dalam pemerintahan,” katanya menjelaskan tindakan keluar parti itu bagi membolehkan beliau membetulkan PAS dari luar.

“Apa yang berlaku kerana kesilapan menguruskan kepemimpinan parti yang mana beberapa kali sudah dibetul dan ditegur…apabila ia tidak diendahkan, maka kita tidak berjaya dalam dua pilihan raya kerana tidak ada barokah,” katanya.

Beliau menegaskan, MN yang dicapai bersama UMNO melalui jalan yang panjang dan mengikut perlembagaan parti sebaliknya kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) berlaku sebaliknya.

“Kerjasama dengan PN ditandatangani oleh Presiden parti dan disaksikan beberapa AJK PAS Pusat tidak melalui keputusan AJK PAS Pusat atau disahkan Majlis Syura Ulama mahupun Muktamar PAS.

“Namun, kerjasama dengan PN ini sudah saya perbetulkan sebab itu kita gunakan slogan pertahankan MN dan perkasakan PN,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR