Saya belum terima jemputan ke majlis umum calon PH: Idris

Datuk Seri Idris Haron memberitahu setakat ini Pakatan Harapan (PH) masih belum menjemputnya ke majlis pengumuman calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang akan diadakan esok.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang itu berkata masih belum menerima jemputan dari PH atau Datuk Seri Anwar Ibrahim, ia juga termasuk rakannya ADUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan yang turut tidak menerima sebarang jemputan ke majlis tersebut.

“Setakat ini, saya dan Nor Azman masih belum menerima sebarang jemputan daripada PH untuk menghadiri majlis pengumuman calon PH,” katanya dipetik portal BH.

Idris bagaimanapun optimis Ketua Pembangkang, Anwar akan menerimanya sebagai calon PH pada PRN nanti dan komited untuk membantu jentera kempen bagi memenangi gabungan blok pembangkang itu.

“Saya kurang pasti penerimaan mereka terhadap kami, namun saya dapat berasakan jentera PH komited dengan sesiapa saja asalkan untuk menolak kerajaan yang rasuah dan tidak bertanggungjawab.

“Seperti yang lain, saya juga akan menunggu hingga tiba masanya kelak (pengumuman calon PH),” katanya lagi.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka mempunyai 28 kerusi.

Ketika ini PH mempunyai 11 kerusi iaitu DAP (7), Amanah (2) dan PKR (2), manakala Barisan Nasional (BN) mempunyai 12 kerusi dan PN (1).

Empat bekas ADUN yang diketuai Idris sebelum ini menarik sokongan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali dan menyatakan sokongan kepada PH sehingga menyebabkan tumbang kerajaan dipimpin UMNO.

BERITA BERKAIT
POPULAR