
Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli menempelak Datuk Seri Najib Razak yang serba tahu di Facebook tetapi serba tidak tahu di mahkamah.
Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli berkata minat sebenar beliau terhadap Datuk Seri Najib Razak hanyalah untuk memastikan bekas Perdana Menteri itu menanggung segala kesalahan yang dilakukan dan berakhir dengan menjalani hukuman penjara.
Beliau mengulas kenyataan Najib yang berucap pada Konvensyen Barisan Nasional (BN) Selangor bahawa beliau (Rafizi) berminat terhadapnya.
Rafizi yang juga bekas ahli Parlimen Pandan berkata walaupun berlagak popular, Najib kelihatan bimbang dengan susunan kepimpinan parti Pakatan Harapan (PH), terutama apabila jentera penerangan UMNO mula menumpukan serangan terhadapnya dan PKR.
“Terbaru, semasa berucap di Konvensyen BN Selangor, berulang kali dia menumpukan ucapannya mengenai saya, termasuk mengungkit kononnya saya “berminat” kepadanya.
“Sementara lagak Najib sudah diketahui umum dan ada segelintir masyarakat yang berpendapat lagaknya wajar diabaikan, saya memilih untuk berdepan dengan sarkas politik mainan Najib kerana ada isu pokok yang cuba disembunyikan Najib,” kata Rafizi dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, Najib telah didapati bersalah menyeleweng dana rakyat yang kesannya akan ditanggung oleh rakyat untuk jangka masa berpuluh-puluh tahun akan datang.
Selain tanggungan hutang 1MDB berjumlah RM50 bilion, Rafizi berkata, projek-projek mega yang kosnya naik berkali ganda (seperti MRT, LRT3, ECRL dan sebagainya) membebankan rakyat dengan hutang melebihi RM100 bilion dalam tempoh sekurang-kurangnya 20 tahun akan datang.
“Najib telah menggunakan sumber kewangannya untuk menggerakkan kempen penipuan melalui media sosial untuk menyucikan dirinya seolah-olah dia tidak bersalah.
“Lebih teruk dari itu, dia juga cuba menyelewengkan pemikiran rakyat dengan memainkan propaganda terhadap tokoh-tokoh terbilang yang patriotisme mereka bagai langit dengan bumi jika dibandingkan dengan Najib.
“Cubaan propaganda Najib untuk memburukkan integriti hakim Yang Arif Dato’ Mohd Nazlan Mohd Ghazali, semata-mata untuk menutup kesalahannya mencuri dana rakyat, tidak wajar dibiarkan tanpa disanggah,” katanya.
Rafizi berkata beliau tidak berminat dengan Najib, sebaliknya sebagai pemimpin pro-rakyat beliau bertanggungjawab untuk terus mendedahkan kesalahan bekas Presiden UMNO itu.
“Fokus kepada kesalahan Najib yang membebankan rakyat ini telah menjatuhkan Najib dalam PRU14 dalam tahun 2018.
“Dengan konsistensi yang sama, lebih ramai rakyat yang akan menolak UMNO/Barisan Nasional akibat penyelewengan Najib.
“Minat sebenar saya ialah untuk memastikan Najib menanggung kesalahan-kesalahannya kepada rakyat dan berakhir dengan menjalani hukuman penjara,” katanya.
Artikel berkaitan: Najib jangan perasan: Minat kerana bekas PM wajar ke penjara