Sanusi disiasat polis ikut Kanun Keseksaan dan Hasutan, kata Anwar

June 6, 2023 · Politik

Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sedang disiasat pihak berkuasa mengikut Kanun Keseksaan dan Akta Hasutan berhubung kenyataan Pulau Pinang milik Kedah, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata laporan melibatkan Menteri Besar Kedah itu sudah sudah dikemukakan kepada Peguam Negara dan sedang menunggu tindakan selanjutnya.

“Saya telah mendapat dokumen termasuk laporan polis yang mengesahkan Menteri Besar Kedah secara tidak bertanggungjawab mengeluarkan beberapa kenyataan.

“Pertama, menuntut Perlembagaan Persekutuan dipinda supaya mengembalikan Pulau Pinang ke Kedah dan kedua menyatakan ada asas yang kukuh bahawa Pulau Pinang milik Kedah.

“Sebagai seorang yang mempunyai kedudukan, kenyataan itu adalah tidak bertanggungjawab,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Anwar menjawab soalan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng mengenai tindakan ke atas gesaan Menteri Besar Kedah bahawa Perlembagaan Persekutuan dipinda untuk memadamkan Pulau Pinang supaya boleh dikembalikan kepada Kedah.

Anwar berkata, kedudukan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri dalam Malaysia termaktub di bawah Fasal (2) Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan Negeri-Negeri Persekutuan adalah Negeri-Negeri Tanah Melayu iaitu Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Selangor dan Terengganu serta Negeri-Negeri Borneo iaitu Sabah dan Sarawak.

Katanya, Fasal (3) Perkara 71 Perlembagaan Persekutuan dibaca bersama Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan menjamin kedudukan Perlembagaan Negeri termasuk Perlembagaan Negeri Pulau Pinang.

“Mengapa perkara ini dibangkitkan? Memang betul sebab Pilihan Raya Negeri (PRN), apakah kerana nak gelojoh kuasa pilihan raya, kita korbankan prinsip Perlembagaan dan timbulkan huru-hara.

“Ini yang menyebabkan timbul permasalahan. Kita dah merdeka lebih 60 dekad, parti-parti memerintah tidak pernah dibangkitkan melainkan seorang ketua yang tidak bertanggungjawab yang sanggup melanggar prinsip undang-undang Perlembagaan.

“Oleh yang demikian, saya serahkan sepenuhnya kepada Peguam Negara untuk mengambil tindakan yang sesuai,” katanya.

Beliau turut menegaskan tidak berhajat mengulas kenyataan lain yang dibuat oleh Sanusi.

“Bukan kebiasaan saya untuk terjun ke lembah yang begitu rendah dalam politik.

“Saya bersetuju dengan pandangan Bagan bahawa hal ini perlu dihentikan dan saya harap dengan kenyataan ini dan dengan siasatan polis yang sudah diserahkan kepada Peguam Negara, hal ini mesti dihentikan kerana ini melanggar prinsip Perlembagaan yang diperkenankan oleh Raja-Raja Melayu,” katanya.

Terdahulu, beberapa ahli Parlimen pembangkang antaranya, Beluran, Besut, Arau dan Pendang bangun membangkitkan Peraturan 23(1) Dewan Rakyat sebelum Guan Eng mengemukakan soalannya.

Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) bertanya sama ada Peraturan 23(1)(C) Dewan Rakyat sudah dipertimbangkan sebelum soalan itu dikemukakan.

Mendengar perkara itu, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, berkata: “Saya sudah melihat dan meneliti soalan itu dan membuat keputusan ia tidak bercanggah dengan apa yang dikatakan oleh Beluran”.

Tidak berpuas hati dengan jawapan itu, Ahli Parlimen Besut, Arau dan Pendang membangkitkan Peraturan 23 Dewan Rakyat dan mendakwa kenyataan itu tidak dikeluarkan oleh Sanusi.

Pada majlis menandatangani perjanjian sempadan darat dan maritim antara Kedah-Perlis, Sanusi mendakwa Kedah dan Pulau Pinang tidak ada sempadan kerana Pulau Pinang masih hak Kedah.

Berita berkaitan
Pegawai Kor Ming diletak calon DAP pada PRK Kuala Kubu Bharu
13 jam lalu· Politik
Tengku Zafrul hanya hadir sekali ke mesyuarat UMNO Selangor, kata Megat
April 22, 2024· Politik
Kerajaan boleh dianggap derhaka jika ingkar adendum, kata Annuar Musa
April 22, 2024· Politik
Jualan saham pelabur asing tertinggi empat tahun minggu lalu: MIDF
April 22, 2024· Isu semasa
Popular
Pegawai Kor Ming diletak calon DAP pada PRK Kuala Kubu Bharu
April 24, 2024
BN kalah PRU-15 sebab Zahid, kata Annuar Musa
November 21, 2022
Tiada laporan polis diterima berhubung rakaman tular perbualan lucah
November 17, 2023
Azmin dakwa rumah terbuka Aidilfitri Bersatu disekat kerajaan Selangor
April 18, 2024
Lagi Politik terkini
UMNO kekal pendirian beri laluan kepada calon DAP, kata Mat Hasan
April 22, 2024 · Politik
Tengku Zafrul mohon kebenaran betulkan fakta Zahid dalam kes pengampunan Najib
April 22, 2024 · Politik
Kor Ming mahu UMNO bantu habis-habisan calon DAP di Kuala Kubu Bharu
April 22, 2024 · Politik
Azmin dakwa rumah terbuka Aidilfitri Bersatu disekat kerajaan Selangor
April 18, 2024 · Politik
Terdapat ‘kesilapan fakta’ dalam afidavit Zahid, kata Tengku Zafrul
April 18, 2024 · Politik
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok