
Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Perbicaraan kes saman 10 pengundi kawasan Parlimen Gombak terhadap wakil rakyatnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan diteruskan selepas Mahkamah Tinggi menolak permohonan untuk membatalkan saman tersebut hari ini.
Saman tersebut berhubung dakwaan Azmin menipu dan melanggar tanggungjawab fidusiari sebagai Ahli Parlimen.
Perkara itu dimaklumkan peguam, N. Yohendra yang mewakili pengundi-pengundi tersebut selepas tamat prosiding secara Zoom di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir, lapor Bernama.
Peguam terbabit turut memaklumkan, pada prosiding sama, mahkamah menolak permohonan 10 pegundi gombak itu untuk memadamkan sebahagian pembelaan Mohamed Azmin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.
Menurut Yohendra, Hakim Akhtar memutuskan untuk menolak kedua permohonan tersebut atas alasan terdapat isu yang perlu dibicarakan.
Dengan keputusan mahkamah hari ini, kes saman itu ditetapkan untuk perbicaraan selama empat hari bermula 7 Jun 2022. Pengurusan kes pula ditetapkan pada 7 April 2022.
Pada 27 November 2020, 10 pengundi berdaftar di kawasan Parlimen Gombak memfailkan saman terhadap Mohamed Azmin atas dakwaan menipu dan melanggar kewajiban fidusiari menerusi ‘Langkah Sheraton’ yang menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan tumbang pada Februari tahun lepas.
Pernyataan tuntutan mereka menyebut kesemua plaintif, berusia lingkungan 37 dan 65 tahun, memohon antara lain pengisytiharan bahawa Mohamed Azmin selaku Ahli Parlimen Gombak, melanggar kewajiban fidusiarinya, menipu serta memungkiri representasi yang dibuat kepada mereka dalam pilihan raya umum bagi kawasan berkenaan.