Sama ada benar atau tidak, UMNO perlu waspada pendedahan PASleak: Mat Maslan

Pendedahan komplot politik yang didedahkan menerusi PASleak tidak boleh dipandang ringan dan UMNO perlu berwaspada dengan ancaman musuh mereka, kata Datuk Seri Ahmad Maslan atau Mat Maslan.

Setiausaha Agung UMNO itu berkata sama ada benar atau tidak kesahihan yang didedahkan PASleak, langkah berjaga-jaga perlu diambil memandangkan musuh sentiasa mencari peluang untuk menjatuhkan parti itu.

“Jangan mengambil mudah atau ‘enteng’ setiap perkara yang direncanakan oleh pihak lawan kerana mereka juga berhasrat untuk menguasai semula Putrajaya selepas PRU-15 nanti.

“Seperti kata pakar seni peperangan China, Sun Tzu, ketahui musuhmu, ketahui dirimu, seribu peperangan, seribu kemenangan. Anggap PASleak sebagai gerakan musuh sama ada benar atau tidak,” katanya dipetik laporan Utusan Malaysia.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, tidak kira sama ada dokumen PASleak sebagai sampah atau tidak perlu dibesarkan ia sebenarnya tetap perlu diragui kerana sudah pasti ia sebagai salah satu strategi ‘peperangan’ pihak musuh.

“Sepertimana perancangan bagi mewujudkan Khemah Besar oleh pembangkang, pemimpin dan ahli-ahli UMNO perlu berwaspada dengan dokumen PASleak yang secara tiba-tiba terdedah kepada umum.

“Dokumen ini tiada timbul di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor yang menyaksikan Perikatan Nasional (PN) gagal memenangi kedua-dua pilihan raya itu, tetapi mengapa perkara ini terdedah.

“Ini tentunya menjadi dorongan kepada PN dan PAS untuk bersiap daripada awal untuk menghadapi PRU-15, setelah gabungan antara Bersatu, PAS dan Gerakan tewas teruk dikedua-dua negeri itu,” ujarnya lagi.

Terdahulu, tular di media sosial beberapa keratan dokumen didakwa merupakan minit mesyuarat PAS yang mempunyai pelan atau gerak kerja parti itu untuk menjatuhkan UMNO dan BN.

Bagaimanapun Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin menyifatkan pendedahan itu sebagai dokumen sampah.

Manakala Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa menyifatkan dokumen yang didakwa mengandungi perancangan sulit untuk menjatuhkan pemimpin UMNO bukan sesuatu yang luar biasa dan tidak perlu diperbesarkan.

BERITA BERKAIT
POPULAR