Saingan banyak penjuru, DAP jangka kemenangan memihak mereka

Saingan sehingga enam penjuru di lapan kerusi Dewan Udangan Negeri (DUN) yang dihadapi calon DAP Melaka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini, merupakan cabaran besar buat parti itu untuk mempertahankan kerusi berkenaan.

Pengarah Pilihan Raya DAP bagi PRN Melaka Khoo Poay Tiong berkata saingan berkenaan boleh mengelirukan pengundi, kerana terdapat banyak logo atau lambang parti di dalam kertas undi sehingga menyebabkan mereka sukar membuat pilihan tepat.

“Bagi DAP Melaka sudah pasti kita ingin pertahankan lapan kerusi yang telah menangi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lepas, dan keutamaan akan diberikan pada lapan kerusi ini selain membantu rakan komponen parti dalam Pakatan Harapan (PH), untuk mempertahankan tujuh lagi kerusi yang pernah kita menangi.

“Saingan banyak penjuru ini sukar untuk kita membuat ramalan siapa yang akan menang pada PRN Melaka, kerana setiap parti politik mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing dan terpulang kepada pengundi membuat keputusan,” katanya lapor Bernama.

Terdahulu, Poay Tiong mengadakan sidang akhbar di Pejabat DAP Melaka hari ini.

Lapan kerusi DUN yang menjadi taruhan DAP untuk dipertahankan ialah Kota Laksamana (tiga penjuru), Bandar Hilir (empat penjuru), Kesidang (tiga penjuru), Duyong (enam penjuru), Pengkalan Batu (lima penjuru), Ayer Keroh (tiga penjuru), Gadek (enam penjuru) dan Bemban (lima penjuru).

Khoo berkata bagi menghadapi cabaran berkenaan, jentera DAP bersama jentera komponen parti dalam PH fokus untuk turun padang secara lebih agresif untuk memperkenalkan calon yang bertanding di bawah tiket PH dan logo yang mewakili gabungan itu.

Ketika ditanya tentang kerusi DUN yang menjadi kubu kuat DAP pada PRN Melaka, beliau berkata ia tidak dapat ditentukan kerana kemenangan DAP bergantung pada undi rakyat pada Sabtu ini.

Khoo berkata kadar peratusan keluar mengundi yang tinggi pada PRN Melaka menjadi antara faktor penentu kemenangan DAP serta PH dan semua pengundi diseru untuk keluar mengundi bagi menunaikan tangggungjawab sebagai rakyat.

Pada PRN ini DAP memperkenalkan dua muka baharu yang akan diketengahkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 20 Nov ini di samping mengekalkan enam penyandang.

Melaka mempunyai 28 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan seramai 495,195 pengundi berdaftar dengan 240,530 atau 48.57 peratus pengundi adalah lelaki dan baki 254,666 atau 51.43 peratus, wanita.

SPR menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 Nov berikutan pembubaran DUN pada 4 Okt lepas selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

BERITA BERKAIT
POPULAR