Saifuddin pertahan langkah berunding dengan parti lain hadapi PRU-15

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution menolak dakwaan bahawa usaha berunding dengan parti-parti politik lain bagi mendapatkan semula tampuk pemerintahan negara susulan dari “Langkah Sheraton” sebagai agenda tersendiri individu-individu tertentu.

Menurut beliau, usaha tersebut dilakukan bagi memastikan Pakatan Harapan (PH) terus menyandang mandat yang diberikan oleh rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-14, yang dipersetujui bersama oleh Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, ahli Majlis Biro Politik PKR dan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH).

“Saya ingin menjawab tuduhan dan propaganda yang seolah-olah menggambarkan bahawa berunding dengan mana-mana parti politik lain demi mendapatkan semula mandat rakyat itu adalah jalan pintas dan seperti satu gerakan individu oleh saya sendiri.

“Pendekatan berunding dengan parti-parti politik dan mengkaji permintaan daripada semua pihak terlibat adalah lebih baik berbanding tidak berbuat apa-apa,” Saifudin berkata dalam satu video yang yang dimuat naik di Facebooknya hari ini.

Saifuddin, yang juga Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu sebelum ini juga telah menyatakan bahawa PH sedia mengadakan perbincangan dengan mana-mana pihak bagi menghadapi PRU-15.

Beiau, yang juga calon Timbalan Presiden dalam pemilihan PKR 2022 itu turut menegaskan bahawa keruntuhan kerajaan PH sebelum ini bukan akibat dari penolakan rakyat terhadap blok tersebut sebaliknya berlaku kerana pengkhianatan ahli Parlimen PH sendiri.

“Waktu itu, tengok balik jumlah kita ada 109, nak jadi kerajaan kena cari lagi tiga. Penyokong kita minta Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim buat sesuatu dapatkan balik kuasa, kita tidak boleh tunggu tiga tahun lagi PRU15 untuk ambil balik (kerajaan).

“Dah kurang tiga saja, carilah jalan. Nak cari mana tiga ini? Tentulah ahli Parlimen bukan PH, siapa mereka? Pas, Sabah, Sarawak dan UMNO. Nak cari mereka ini keputusan PH, DAP, Parti Amanah Negara (Amanah), PKR bincang sama-sama.

“Kita berusaha cari, ada dua kemungkinan, berjaya atau tidak. Tapi kalau kita tidak berusaha langsung, sah tidak jadi apa dan ternyata setelah berusaha, kita tidak dapat, kita kembali semula untuk menyusun parti dan terus bergerak. Itu isunya.

“Tidak ada satu saat pun keputusan berunding dengan pihak di luar PH dibuat oleh seorang manusia, ini keputusan bersama, cuma berakhir dengan kegagalan, maka serangan ditujukan kepada Presiden PKR,” katanya.

Terdahulu, Presiden PKR dan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa PH tidak boleh bersifat angkuh dan menolak sebarang rundingan dengan pihak lain.

Anwar juga berkata bahawa idea “khemah besar pembangkang” ini juga telahpun dibincangkan bersama dengan rakan komponen PH iaitu Parti Amanah Negara (PAN) dan DAP.

“Soal khemah besar pembangkang, berdasarkan kenyataan parti dan saya sendiri, tidak timbul dan tidak relevan. Saya sendiri, Presiden PKR tidak meneruskan perbincangan kerana keutamaan kita adalah untuk mengukuhkan semangat dan kekuatan induk parti dalam PH termasuk Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO).

“Tetapi saya tegaskan kita jangan terlalu angkuh untuk mengatakan tidak boleh berbincang soal itu dengan orang lain, asalkan mereka tunduk kepada agenda PH.

“Ini kerana pengalaman lalu sewaktu pentadbiran kerajaan PH dipimpin (bekas Perdana Menteri PH) Tun Dr Mahathir (Mohamad) lalu sangat mengguriskan perasaan. Bagi kita, banyak perkara dilakukan menyimpang dengan pendekatan kita meskipun ada juga perkara bagus tidak dinafikan turut dibuat,” katanya Anwar.

Pendekatan “khemah besar pembangkang” ini juga dilihat mendapat sokongan dari DAP dan PAN yang sebelum ini berulang kali mendesak untuk PH bergabung dengan parti pembangkang lain seperti Warisan dan juga Muda.

Malah, DAP juga mendakwa kegagalan PH menggunakan satu logo dalam Pilihan Raya Negeri Johor  telah menjejaskan sokongan gabungan kerana ia menunjukkan kekurangan perpaduan.

Idea penubuhan “khemah besar pembangkang” ini mendapat tentangan dari lawan Saifuddin dan juga seorang lagi calon timbalan presiden PKR dalam pemilihan kali ini iaitu Rafizi Ramli.

Bekas Ahli Parlimen Pandan itu beberapa kali menolak keperluan PH mencari khemah baharu, sebaliknya menegaskan bahawa PH perlu yakin dengan kekuatan diri sendiri.

“Macam mana dulu 2008 kamu boleh yakin, 2013 boleh yakin dan 2018, tapi 2022 tak yakin pula.

“Memang ada turun naik. Dan turun naik ada disebabkan oleh PKR, ada disebabkan oleh PAN dan disebabkan DAP. Yang baik ada dibawa oleh PKR, DAP atau Amanah yang buruk juga begitu.

“Kalau kita betul bersama atas landasan bahawa Malaysia perlu bergerak atas prinsip begini, masa hujan bersama, masa panas pun bersama baru rakyat yakin dan hormat kepada kita,” katanya dalam satu majis PKR di Setiawangsa Ahad lalu.

 

BERITA BERKAIT
POPULAR