
Ketua Pemuda, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki disahkan lantikannya Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai Pengerusi Mara baru-baru ini.
Bekas Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki sah dilantik sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang baharu.
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata lantikan Asyraf yang sebelum ini kalah dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) adalah sahih dan surat lantikan sudah diberikan pada Jumaat lalu.
“(Asyraf Wajdi) Telah dilantik, bukan desas-desus lagi. Beliau telah dilantik dan saya telah serah watikahkannya pada hari Jumaat yang lalu.
“Sebab itu bukan berita politik, maka ia adalah sahih,” katanya dipetik laporan Sinar Harian.
Zahid mengulas berkenaan gambar tular beliau sedang menyampaikan surat pelantikan kepada Asyraf yang tular di Twitter.
Ciapan dimuat naik seorang pengguna Twitter pada Sabtu mengundang reaksi tidak senang rakyat yang mempertikaikan pelantikan calon UMNO yang kalah hatrik dalam pilihan raya.
Jawatan Pengerusi Mara sebelum ini disandang Datuk Azizah Mohd Dun.
Untuk rekod, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mengumumkan tidak akan ada lantikan politik lagi dibawah pentadbirannya bagi jawatan agensi berkaitan kerajaan (GLC) yang menjadi budaya kerajaan terdahulu.
Bagaimanapun, kerajaan campuran baru-baru ini meneruskan juga beberapa lantikan daripada kalangan politik bagi memegang jawatan dalam agensi kerajaan, berbeza semasa janji kempen dalam pilihan raya lalu.