Rupanya ramai MP DAP, akar umbi mahu Anwar diganti

Ahli Parlimen (MP), bekas Menteri dan akar umbi di dalam DAP terus bertelagah dengan rancangan menggantikan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri (PM) Pakatan Harapan (PH).

Ramai pemimpin gabungan itu yang mesra dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan mahukan bekas PM itu kembali menjadi calon PM bagi PH kerana dilihat lebih berwibawa dan berkeupayaan berbanding Anwar.

Malah, pertelingkahan dalam kalangan mereka juga tercetus susulan tindakan Anwar yang menerima ‘katak politik’ bertanding mewakili PH pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 November lalu, hingga menyebabkan kekalahan teruk PH.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu DAP menang di lapan kerusi, namun pada PRN Melaka itu mereka hanya menang empat sahaja, sebaliknya kalah kepada Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban, Duyong, Gadek dan Machap Jaya.

Manakala, PKR yang diketuai Anwar pula kalah semua 11 kerusi yang ditandingi, termasuk tiga DUN yang dimenangi pada PRU14, semuanya gara-gara tindakan Anwar menerima ‘katak politik’ – bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang daripada UMNO, Datuk Seri Idris Haron dan bekas ADUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan – bertanding mewakili PH.

Malah, PKR menerima tamparan hebat apabila Ketua Penerangannya, Shamsul Iskandar Mohd Akin gagal mempertahankan kerusi PKR di DUN Paya Rumput.

Sementara itu, memetik laporan FMT, bekas pemimpin DAP Johor, Dr Boo Cheng Hau mendakwa pucuk pimpinan parti itu mahukan Dr Mahathir kembali mengetuai gabungan berkenaan menggantikan Anwar.

Katanya, beberapa mesyuarat Zoom diadakan dalam kalangan MP, bekas menteri dan akar umbi DAP sebenarnya cuba memujuk supaya tidak menyokong Anwar sebagai calon PM bagi PH, sebaliknya memilih Dr Mahathir.

“Mesyuarat-mesyuarat Zoom diadakan antara Ahli Parlimen dan bekas menteri dan akar umbi (DAP) atas nama mempertingkatkan komunikasi tetapi sebenarnya cuba memujuk akar umbi supaya tidak menyokong Anwar sebagai calon PM bagi PH, dan sebaliknya Mahathir adalah pilihan yang lebih berkeupayaan,” katanya dalam surat terbuka kepada pimpinan DAP.

Dalam surat terbuka itu bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai itu tidak menamakan bekas Menteri DAP yang dimaksudkannya.

Dr Boo menyifatkan komen dalam mesyuarat Zoom parti itu sebagai bercanggah dengan resolusi Majlis Presiden PH yang menetapkan Anwar adalah calon PM bagi gabungan itu.

Beliau berkata, perbincangan mesyuarat itu mencetuskan keadaan tidak stabil kerana akar umbi amat keliru berkenaan siapa pemimpin tertinggi PH sebenarnya bagi menghadapi PRU ke-15.

Pada satu mesyuarat Zoom itu, beliau membidas seorang bekas menteri yang “memuji dan mempromosi” Mahathir walaupun menyedari beliau (Mahathir) mengakibatkan kerajaan PH tumbang tahun lalu.

Katanya, usaha meraih sokongan bagi Mahathir menghakis keyakinan terhadap keupayaan PH membawa negara ke arah pembaharuan dan reformasi.

Beliau berkata, DAP sewajarnya mematuhi keputusan yang dibuat di peringkat tertinggi PH iaitu Majlis Presidennya.

BERITA BERKAIT
POPULAR