
PN memperoleh 334,457 undi atau 24.04 peratus manakala PH dengan 284,969 (20.48 peratus) undi.
Semua rundingan kerusi dengan parti-parti dalam Perikatan Nasional (PN) sudah selesai dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan ia berjalan dengan baik tanpa sebarang pergaduhan tercetus seperti parti lain yang masih belum selesai berunding kerusi mereka.
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata keputusan rundingan semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor sudah dimuktamadkan hasil perbincangan dengan wakil Bersatu, PAS dan Gerakan, sambil menegaskan rundingan berlangsung dengan penuh ukhwah dan persefahaman antara satu sama lain.

Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Saya nak beritahu hari ini, rundingan kerusi antara parti-parti Perikatan Nasional sudah selesai, muktamad.
“Datuk Takiyuddin (Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan), wakil PAS dengan beberapa wakil Bersatu dan Gerakan, settle, selesai…Jadi, kita tidak pernah bergaduh pun… runding dalam masa seminggu sudah selesai,” katanya semasa pelancaran PN Johor di Kota Tinggi malam tadi.
Selain itu, senarai nama calon PN juga sudah tersedia dan ia akan ditapis terlebih dahulu dengan pihak berkuasa bagi memastikan tiada rekod jenayah, kata Muhyiddin lagi.
“56 kerusi, semua parti ada tidak ada masalah dan senarai calon sudah tersedia, kita akan bawa kepada PDRM (Polis Diraja Malaysia) untuk semak dan kedua untuk SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) semak dan ketiganya, untuk insolvensi sama ada dia bankrap tidak bankrap untuk pastikan calon bersih,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Muhyiddin juga memberitahu perkara sama juga akan dilakukan semasa PRN Melaka lalu apabila semua calon akan diwajibkan untuk mengangkat sumpah.
“Semua calon PN perlu angkat sumpah macam mana kita buat di Melaka, dimana hanya calon PN sahaja angkat sumpah menentang rasuah dan tidak akan salah guna kuasa
“Kita nak cabar BN (Barisan Nasional) buat macam kita buat, bukan ikrar biasa,” katanya lagi.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu semasa bersama dibawah gabungan Pakatan Harapan (PH), Bersatu bertanding 18 kerusi DUN Johor dan menang lapan kerusi sementara PAS bertanding secara solo ketika itu hanya memenangi satu kerusi di DUN Gambir.