Rundingan kerjasama masih belum terlambat, kata bekas Pengerusi PKR Johor

Bekas Pengerusi PKR Johor, Hassan Abdul Karim menggesa supaya rundingan kerjasama dengan parti yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan, ia bagi mengelak pertembungan banyak penjuru.

Hassan yang juga Ahli Parlimen Pasir Gudang itu berkata masih belum terlambat untuk semua parti berunding supaya UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak menang besar seperti yang berlaku dalam PRN Melaka lalu.

Menurut beliau, rundingan untuk kerjasama masih belum terlambat kerana Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hanya akan bermesyuarat pada 9 Februari nanti.

“Hari penamaan calon lambat lagi. Masih ada masa untuk berbincang untuk elak pertembungan tiga, empat, lima atau enam penjuru. Bertembung sesama pembangkang akan menguntungkan UMNO dan BN sahaja.

“Jadi parti-parti politik pembangkang di luar PH seperti Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang); Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda); Parti Warisan Sabah (Warisan); Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) perlu adakan rundingan.

“Begitu juga dengan parti terbaru ditubuhkan bernama Parti Bangsa Malaysia (PBM), apa status anda sebenarnya. Menyokong kerajaan atau ‘mesra kerajaan’ atau bebas atau pembangkang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan Hassan tersebut mengulangi cadangan sama yang diutarakan pemimpin Parti Amanah Johor sebelum ini.

Timbalan Pengerusi Parti Amanah Johor, Dzulkefly Ahmad mencadangkan supaya Pakatan Harapan (PH) Johor membuka pintu rundingan dengan dengan Bersatu bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal diadakan nanti.

Dzulkefly yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar itu berkata persefahaman politik perlu dicapai dalam kalangan parti pembangkang bagi mengelak episod PRN Melaka berulang lagi, ia termasuk dengan membuka pintu rundingan dengan bekas rakan parti, Bersatu.

Tidak dinafikan terdapat isu berkaitan pengkhianatan, namun Dzulkefly berkata PH perlu memberi fokus kepada musuh utama yang satu dan perlu melihat realiti politik semasa.

“Persefahaman politik penting terutama melibatkan kerusi-kerusi yang parti pembangkang mempunyai potensi untuk menang. Hal ini penting sekaligus dapat mengelakkan situasi yang berlaku di PRN Melaka lalu.

“Kita juga masih terbuka untuk menjalin kerjasama dengan Bersatu,” katanya sebelum ini.

Bagaimanapun, Presiden PKR yang juga Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim seakan tidak menerima cadangan tersebut atas alasan kononnya Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) bukan pembangkang.

Namun, Anwar mungkin terlupa sebelum ini kerjasama yang dijalin dengan anak muridnya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam menjatuhkan kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Malah, pembangkang juga menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan kerajaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, namun dalam PRN Johor yang bakal berlangsung menyaksikan Anwar masih berkeras untuk menjalin kerjasama dengan parti-parti luar pembangkang.

Seperti di Melaka dan Sarawak, Anwar nampaknya masih hidup dalam fantasi dan tidak melihat realiti apabila berlaku banyak pertembungan, PKR yang paling teruk kalah dalam dua PRN sebelum ini.

Dalam pada itu, Hassan berkata susah untuk meramalkan keputusan PRN Johor memandangkan peningkatan pengundi baharu yang signifikan.

“Tidak ada yang boleh jadi ‘Nujum Pak Belalang’ meramal parti mana boleh menang mudah dengan memperoleh sekian-sekian banyak kerusi. Kehadiran lebih 2.57 juta pengundi baharu khususnya pengundi muda 18 tahun ke atas ibarat ‘game changer‘.

“Segala ‘score-sheet‘ Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12, 13 dan 14 sudah tidak relevan lagi. Sebagai panduan umum boleh tetapi tidak lagi terpakai apabila beribu-ribu pengundi muda membanjiri setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh Johor,” katanya lagi.

BERITA BERKAIT
POPULAR