
Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan.
UMNO sekali lagi memberi tekanan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) supaya meluluskan permohonan pindaan perlembagaan UMNO berkenaan penangguhan pemilihan parti itu.
Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan berkata RoS tiada alasan untuk tidak meluluskan permohonan bagi menangguhkan penangguhan pemilihan parti sehingga enam bulan selepas pilihan raya umum (PRU), malah Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sendiri menyokong usul tersebut.
“Antara peranan RoS ialah menjaga kepentingan dan hak ahli sesebuah pertubuhan. UMNO sudah melaksanakan mesyuarat perwakilan bahagian, sudah mengadakan Perhimpunan Agung UMNO dan Perhimpunan Agung UMNO Khas.
“Berkali-kali jelas apa yang ahli mahukan, daripada atas sehinggalah ke bawah. Malah Perdana Menteri sendiri yang menyokong usul itu. Takkan RoS lebih tahu daripada ahli tentang kepentingannya?” katanya dipetik laporan Utusan Malaysia hari ini.
Tambah Shahril, proses pindaan perlembagaan parti dibuat mengikut fasal 30 Perlembagaan UMNO dan sudah pun dikemukakan kepada RoS dua hari selepas perhimpunan agung khas.
“Segala proses pindaan dibuat mengikut lunas perlembagaan parti iaitu fasal 30 dan surat telah dikemukan kepada RoS oleh Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan pada 17 Mei 2022.
“Namun, parti masih belum mendapat maklumbalas daripada ROS,” jelasnya.
Katanya, tanpa ketetapan akhir oleh pihak RoS, UMNO dijadualkan akan mengadakan pemilihan parti selewatnya pada 29 Disember 2022.
Mei lepas, UMNO sebulat suara meluluskan Pindaan Perlembagaan parti yang membolehkan pemilihan parti diadakan tidak melebihi tempoh enam bulan selepas PRU, untuk memberi ruang kepada ahli memfokus kepada gerak kerja pilihan raya.
Notis pindaan perlembagaan itu dikemukakan kepada RoS pada 17 Mei, dan Ismail Sabri sebelum ini dilaporkan berkata RoS mempunyai masa sehingga 60 hari untuk membuat keputusan berhubung permohonan pindaan itu.
Terdahulu semalam, Ahmad atau Mat Maslan memberitahu mereka mempunyai Pelan B sekiranya permohonan tidak diluluskan RoS tetapi tidak mendedahkan secara jelas perancangan tersebut buat masa ini.