
RoS akan membuat keputusan berhubung pindaan Perlembagaan UMNO paling lewat 16 Julai ini.
Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) tiada alasan untuk tidak meluluskan permohonan UMNO untuk menangguhkan pemilihan parti itu memandangkan MCA sebelum ini juga berjaya mendapat kelulusan sama, kata Datuk Seri Ahmad Maslan.
“Kalau kita lihat MCA sudah buat benda sama, ini bukan perkara baharu. Ini bukan kali pertama permohonan ini dibuat mana-mana parti. Permohonan pindaan perlembagaan yang seperti itu sudah diluluskan untuk MCA pada 2021.
“Jadi tidak perlu ROS menunggu lama untuk UMNO, sebab dia boleh merujuk apa yang mereka sudah luluskan kepada MCA. Tapi kita memahami, kita perlu juga menunggu kelulusan ROS,” kata Setiausaha Agung UMNO itu, semalam.
Menurutnya UMNO akan mengemukakan cadangan tarikh mengadakan pemilihan parti itu kepada RoS 17 Mei ini setelah selesai Perhimpunan Agung Khas, Ahad ini.
Ahmad mengesahkan menerima surat daripada RoS yang bertanyakan tarikh UMNO akan mengadakan pemilihannya.
“Saya jawab, akan memaklumkan kepada ROS pada 17 Mei ini kerana pada 15 Mei kita menjangkakan keputusan ialah menerima pindaan (perlembagaan UMNO) itu,” katanya.
Katanya, pasukan peguam UMNO akan membantu menyiapkan segala dokumen diperlukan termasuk berkaitan keputusan perhimpunan khas, untuk dikemukakan kepada RoS.
“Kita maklum 16 Mei ini adalah cuti umum Hari Wesak. Kalau tak 16 Mei kita beritahu RoS berhubung tarikh pemilihan parti,” katanya.
Ahmad sebelum ini menjelaskan, usul meminda Perlembagaan UMNO supaya pemilihan parti diadakan enam bulan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), dijangka diluluskan dengan mudah pada perhimpunan khas itu.
Katanya, kira-kira 2,400 perwakilan dari 2,600 perwakilan yang layak sudah mengesahkan kehadiran Ahad ini, sekali gus melepasi syarat kehadiran dua pertiga perwakilan dalam perhimpunan Ahad ini.
Beliau juga menolak dakwaan bahawa Majlis Tertinggi (MT) ketika ini tidak boleh berfungsi dengan sempurna termasuk untuk memanggil perhimpunan khas memandangkan UMNO kini berada dalam tempoh 18 bulan penangguhan parti.
“Tidak ada dalam perlembagaan UMNO peruntukan melanjutkan 18 bulan (pemilihan parti) tidak boleh buat pindaan perlembagaan, tidak ada.
“Dalam tempoh 18 bulan ini, kita berfungsi sebagai parti yang sah termasuk penjawatnya dan boleh melakukan apa saja yang sesuai untuk parti,” katanya turut menjelaskan pindaan itu akan memberi pilihan kepada UMNO membuat pemilihan parti iaitu dalam tempoh lanjutan 18 bulan atau enam bulan selepas PRU.