
Jabatan Pendaftaran Pertubuhan meminta PKR memberi penjelasan berhubung pelbagai isu yang dibangkitkan ketika pemilihan parti itu baru-baru ini.
Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) telah menghantar surat kepada PKR meminta penjelasan berhubung pemilihan parti itu baru-baru ini yang mengalami pelbagai krisis, termasuk pengundian.
Surat daripada RoS itu sedang diuruskan oleh peguam parti, kata Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, hari ini.
Menurutnya RoS telah menulis secara rasmi kepada parti itu untuk mendapatkan penjelasan berhubung pelbagai aduan mengenai pemilihan dalaman parti baru-baru ini.
Saifuddin berkata beliau dan peguam parti telah berbincang sejak jam 8 pagi tadi selepas menerima surat itu.
Katanya beliau bimbang PKR mungkin menghadapi masalah dengan RoS – sama seperti yang berlaku kepada DAP pada 2013 dan MIC pada 2015 – dan beliau akan memastikan tugas terakhirnya sebagai setiausaha agung adalah untuk mempertahankan parti.
“Sekarang ini, tugas terakhir saya ialah, percayalah saya, Saifuddin Nasution, akan mempertahankan parti ini daripada sebarang tindakan RoS,” katanya kepada perwakilan kongres nasional PKR di Shah Alam, hari ini.
Ucapan penggulungan semua pemimpin utama PKR disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook parti itu.
Saifuddin, yang tewas dalam perebutan kerusi timbalan presiden kepada bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli, turut menafikan khabar angin bahawa Jawatankuasa Audit dan Pemilihan parti (JPP) bersekongkol dengan beliau dan presiden Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata JPP diwujudkan atas persetujuan majlis pimpinan pusat (MPP) parti dan juruaudit, yang kemudiannya menjalankan audit terhadap pemilihan parti.
“Sekiranya ada yang mahu memecahbelahkan parti, kita akan ambil tindakan sewajarnya. Apa gunanya melemparkan fitnah, jika hanya untuk memecahbelahkan kita?” katanya.
Pada 7 Julai, Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil berkata MPP parti itu mengakui JPP masih meneliti sebahagian daripada 1,800 aduan yang difailkan semasa pemilihan baru-baru ini.
Pengerusi JPP Dr Zaliha Mustafa sebelum ini berkata audit mendapati terdapat cubaan untuk menggodam keputusan pilihan raya, dengan pakar yang terlibat dalam audit mengesyorkan parti itu mengemas kini rekod pengundiannya.