
Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan.
Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) perlu meluluskan perlembagaan UMNO yang dikemukakan semasa Perhimpunn Agung Khas parti itu baru-baru ini, kata Datuk Seri Ahmad Maslan.
Setiausaha Agung UMNO itu bimbang sekiranya permintaan parti itu tidak diluluskan ia bakal mengakibatkan rakyat akan kembali diperintah dibawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang menyusahkan mereka selama 22 bulan memerintah negara sebelum ini.
“Kalau dapat diluluskan maka pemilihan akan diadakan setiap kali selepas pilihan raya.
“Kalau diadakan pemilihan UMNO sebelum pilihan raya maka seluruh ‘pokok’ itu akan tumbang dan lingkup UMNO serta kembali kepada 22 bulan yang susah sebagaimana selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu,” katanya dipetik dalam portal UMNO-online.
Ahmad juga berkata RoS tidak perlu teragak-agak untuk meluluskan permintaan UMNO memandangkan agensi itu sebelum ini juga telah meluluskan pindaan serupa oleh MCA.
“Mudah-mudahan apa yang diminta oleh UMNO mengenai pemilihan parti tercapai malah parti MCA yang diluluskan oleh RoS telah meminda perlembagannya tentang melanjutkan pemilihan parti selewatnya enam bulan selepas PRU baru diadakan pemilihan,” katanya lagi.
Untuk rekod, Perhimpunan Agung MCA pada Disember 2019 memutuskan untuk meminda perlembagaan parti yang antara lain menetapkan pemilihan kepimpinan hanya akan dibuat selewat-lewatnya enam bulan selepas PRU atau selepas 36 bulan daripada pemilihan parti sebelum ini.
RoS kemudian meluluskan pindaan perlembagaan itu pada awal tahun ini.
UMNO juga memohon pindaan serupa dalam perlembagaannya semasa Perhimpunan Agung Khas pada 15 Mei.
Menurut perlembagaannya sekarang, UMNO telah pun melaksanakan ketetapan yang membenarkan parti itu menangguhkan pemilihan sehingga Disember.
Ahmad berkata demikian ketika berucap permukiman Penerangan UMNO Malaysia semalam yang turut dihadiri Ketua Penerangan parti, Shahril Hamdan.
Permukiman selama tiga hari dua malam di itu melibatkan ketua-ketua penerangan peringkat negeri serta bahagian dari seluruh negara.