ROS daftar GRS secara rasmi

Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) secara rasminya mendaftar Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai entiti politik rasmi, kata Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor.

GRS yang diasaskan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah gabungan PN yang terdiri daripada Bersatu, STAR dan SAPP, bersama Barisan Nasional (BN – PBRS, MCA dan UMNO) serta Parti Bersatu Sabah (PBS).

Hajiji yang juga Pengerusi GRS dan Ketua Bersatu Sabah berkata gabungan itu menerima sijil kelulusan daripada ROS, Jumaat lalu, setelah menghantar permohonan beberapa minggu lalu.

Menurutnya, pendaftaran GRS adalah tindakan pihaknya terhadap permintaan rakyat yang mahu GRS bergerak sebagai entiti politik rasmi di Sabah.

“Hasrat kita mahu melihat Sabah terus makmur dengan perpaduan dan kestabilan yang dapat mendorong agenda pembangunan. Tiada masa lebih sesuai selain sekarang, maka kita perlu hapuskan politik negatif dan remeh-temeh.

“Berbekalkan sumber dan kekuatan, kita perlu bersama menjunjung mandat diberi rakyat untuk kemakmuran Sabah,” katanya selepas majlis pelancaran Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di Kota Kinabalu, hari ini.

Memetik laporan media tempatan Hajiji berkata, pihaknya akan memanfaatkan GRS bagi membangunkan Sabah dalam keadaan politik semasa di negeri itu.

Mengenai kedudukan KDM sebagai parti mesra GRS, beliau mengalu-alukan hasrat itu dan akan membawa permohonan berkenaan untuk pertimbangan dan persetujuan rakan komponen.

BERITA BERKAIT
POPULAR