
UMNO mendesak supaya PRU-15 diadakan segera sebelum ini.
UMNO kini boleh memulakan perbincangan dalam kalangan “Top 5” pemimpin utamanya untuk menentukan tarikh pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) dengan kadar segera.
Ketua Penerangannya, Shahril Hamdan berkata susulan keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhaan (ROS) meluluskan permohonan untuk menangguhkan pemilihan parti, UMNO kini boleh menumpukan sepenuhnya ke arah persediaan menghadapi PRU-15 tanpa wujud lagi soal tanda tanya.
“Tiada tanda soal lagi yang mana akan datang dahulu. Tumpuan utama parti sekarang adalah untuk menghadapi PRU Ke-15.
“Seperti diputuskan oleh Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 dan diperkuat dengan pengumuman hari ini, pemilihan lepas PRU. Tarikh PRU, ‘top five’ bincang, bawa ke Majlis Tertinggi (MT), kemudian kita masuk gelanggang,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook beliau.
Jelasnya lagi, kelulusan diberi RoS terhadap pindaan Perlembagaan UMNO, menepati kehendak parti itu.
Beliau berkata, kini masanya ahli dan pimpinan parti berhenti mengadu domba antara satu sama lain, tidak bergaduh atau syak wasangka, jauh sekali menuduh sensasi pemimpin UMNO cuba mensabotaj ketetapan parti sendiri.
“Walau apa pun desas-desus di luar sana, akhirnya kita ukur melalui hasilnya, ketetapan parti diangkat dan diutamakan. Sekarang masa untuk semua figura UMNO menjadi penyatu.
“Pemilihan (parti) pasti selepas PRU, maka tambah kuat lagi, tiada sebab untuk menjadi selain dari penyatu menjelang PRU ini. Di kala parti kita di ambang kemenangan, kita pilih kesepakatan untuk meyakinkan rakyat memilih kestabilan,” katanya.
Difahamkan, UMNO juga dijadual mengadakan mesyuarat MT minggu depan, antara lain bagi membincangkan berkaitan persiapan parti itu untuk PRU serta lanjutan keputusan RoS ini.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dalam satu kenyataan hari ini mengesahkan RoS sudah meluluskan usul pindaan Perlembagaan UMNO yang diputuskan parti itu sebelum ini.
Katanya, kelulusan diberikan oleh RoS, selepas menilai segala dokumen berkaitan pindaan itu lebih 60 hari, akan berkuat kuasa mulai hari ini.