
Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan.
Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) belum memberi keputusan berhubung permohonan pindaan Perlembagaan UMNO, menurut Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan.
Bagaimanapun, beliau positif RoS akan meluluskan permohonan pindaan perlembagaan parti itu, yang diputuskan dalam Perhimpunan Agung UMNO Khas pada 15 Mei lepas.
“Saya kira adalah hak mereka untuk ambil sedikit masa lagi. Sukacita ingin dinyatakan bahawa segala prosedur telah diikuti dan saya menanti dengan fikiran positif bahawa kelulusan akan diperolehi,” katanya menerusi hantaran di Twitter hari ini.
RoS dalam kenyataan ringkas kepada Bernama pada 7 Julai lepas memaklumkan keputusan berhubung permohonan pindaan perlembagaan UMNO akan diketahui selewat-lewatnya esok (16 Julai).
UMNO meluluskan pindaan perlembagaan parti yang membolehkan pemilihan parti diadakan tidak melebihi tempoh enam bulan selepas Pilihan Raya Umum, untuk memberi ruang kepada ahli fokus kepada gerak kerja pilihan raya.
Notis pindaan perlembagaan itu dikemukakan kepada RoS pada 17 Mei.
Isnin lalu, Ahmad berkata UMNO akan mengadakan pemilihan sebelum akhir tahun ini sekiranya RoS tidak meluluskan permohonan pindaan perlembagaan.
Beliau juga berkata, parti ada perancangan lain atau Pelan B jika mengambil keputusan untuk tidak meneruskan pemilihan parti sebelum akhir tahun ini.
Bagaimanapun, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian tidak mahu mendedahkan butiran Pelan B yang dirancang UMNO sekiranya pemilihan parti tidak diadakan sebelum akhir tahun ini.
“Kami (ahli Majlis Tertinggi (MT) akan buat keputusan jika (pindaan perlembagaan tak diluluskan RoS. UMNO ada Pelan B, namun jika tak mahu Pelan B, maka kita akan buat pemilihan parti sebelum 29 Disember ini,” ujarnya.