
Ketua Penerangan Bersatu, Senator Datuk Razali Idris bertanya Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil, sama ada Zahid Hamidi pernah meletak jawatan.
Ketua Penerangan Bersatu, Senator Datuk Razali Idris mengingatkan bahawa beza antara Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, ibarat langit dan bumi.
Serentak itu, beliau menyifatkan ulasan Ketua Penerangan Umno, Isham Jalil berkaitan tawaran Muhyiddin untuk meletak jawatan daripada menerajui parti, adalah kenyataan yang dangkal.
Menurutnya, Muhyiddin meletak jawatan pada Mesyuarat Khas Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu di Pejabat PAS, Taman Melewar, jam 6 petang, Sabtu (11 Mac 2023).
“Tetapi MPT Bersatu menolak sebulat suara dan Tan Sri Muhyiddin Yassin masih tidak berpuas hati terus dibawa usul ke Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu pada hari ini.
“Usul dibawa oleh Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan semua perwakilan tolak sebulat suara. Tan Sri Muhyiddin Yassin dah tunai janji tapi MPT Bersatu tolak mentah-mentah.
“Saya nak tanya Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil, apakah Presiden kamu pernah menawarkan diri untuk letak jawatan dalam Mesyuarat MKT atau dalam PAU?
“Beza Presiden Bersatu dengan UMNO seperti langit dengan bumi di mana Presiden UMNO dituduh 47 kes manakala Muhyiddin Yassin 7 kes,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Razali juga berkata tiada tuduhan Pengerusi Perikatan Nasional itu memasukkan wang dalam akaun peribadi, berbeza dengan Presiden UMNO menggunakannya untuk kepentingan peribadi.