Rayuan blok pembangkang pilih Anwar sebagai PM, adakah bimbang ditipu Zahid?

Blok pembangkang tidak dapat menyembunyikan lagi kebimbangan ditipu Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sehingga terpaksa membuat rayuan supaya semua Ahli Parlimen (MP) menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri mereka.

Rayuan tersebut memberi isyarat bahawa Pakatan Harapan (PH) tidak dapat mempercayai sepenuhnya kepada Zahid yang dianggap gagal menarik semua MP UMNO untuk menyokong cikgunya ditabalkan sebagai PM baharu sekiranya Tan Sri Muhyiddin dan kerajaan Perikaan Nasional (PN) dijatuhkan.

Untuk rekod, beberapa pemimpin utama UMNO, seperti MP Padang Rengas Datuk Seri Nazri Aziz dan MP Arau Datuk Seri Shahidan Kassim sudah berkali-kali membangkitkan penipuan yang berulang kali dilakukan Zahid terutamanya kepada ahli-ahli parti sehingga memperdaya mereka untuk menyokong Anwar.

Apabila pemimpin UMNO sendiri sudah hilang kepercayaan kepada Zahid, adakah blok pembangkang sanggup menerima seorang yang dianggap kaki penipu untuk duduk bersama-sama dalam kerajaan mereka?

Telahan Agenda Daily nyata tepat apabila kumpulan minoriti UMNO yang dikepalai Zahid mempunyai niat yang lain dan bukannya berhasrat untuk mengangkat Anwar sebagai PM tetapi adalah untuk memastikan kluster mahkamah kembali menguasai tampuk pemerintahan negara.

Rayuan PH tersebut juga secara tidak langsung mendedahkan Anwar juga sebenarnya tidak memiliki majoriti yang dikehendaki sekiranya usul undi percaya di Parlimen tidak menyebelahi Muhyiddin, sebaliknya UMNO berkelebihan untuk melantik PM dikalangan pemimpin mereka, ia kemungkinan PM interim yang akan dilantik bagi menggantikan Muhyiddin.

Berbeza dengan lantikan Muhyiddin sebelum ini yang mendapat majoriti dikalangan MP, lantikan PM interim tidak memerlukan sokongan majoriti dan Yang di-Pertuan Agong mengikut budi bicaranya boleh melantik sesiapa yang dikehendaki yang dirasakan mempunyai jumlah sokongan yang cukup.

Jika perkara ini berlaku, Anwar sekali lagi akan terlepas peluang untuk menjadi PM kerana difahamkan kumpulan minoriti UMNO yang mempunyai 14 MP juga sudah mempunyai nama calon lain.

Sekiranya ini berlaku, blok pembangkang perlu dipersalahkan kerana kerakusan untuk merampas kuasa akan menyebabkan kumpulan kleptokrat yang sebelum ini mereka lawan akan kembali menguasai kerajaan di Putrajaya.

Dalam hal ini, Anwar perlu dipersalahkan bersama dengan segelintir pemimpin dalam Amanah dan DAP yang fanatik dengan Presiden PKR itu sehingga sanggup menerima kluster mahkamah dalam perkiraan majoriti untuk ditabalkan sebagai PM baharu.

Sekiranya kluster mahkamah bersama-sama dengan Anwar, dua parti komponen dalam PH iaitu Amanah dan DAP juga akan dianggap terlibat sekali dalam bersekongkol dengan mereka untuk menjatuhkan kerajaan PN.

Pengundi blok pembangkang pasti tidak akan dapat menerima hakikat ini, bagaimana sebuah gabungan yang kononnya mempertahankan integriti dan menolak rasuah boleh menerima kumpulan kleptokrat yang terpalit dengan puluhan pertuduhan rasuah di mahkamah.

Jika matlamat untuk menjatuhkan kerajaan semata-mata ketika krisis kesihatan melanda, langkah bekerjasama dengan kleptokrat tidak boleh dianggap halal semata-mata hanya demi cita-cita seorang individu yang ingin menjadi PM.

BERITA BERKAIT
POPULAR