Rauf sudah menang, tak kisah kena kompaun RM10,000 langgar SOP

Walaupun dikenakan kompaun RM10,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mungkin tidak kisah dan boleh membayarnya, setelah menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, semalam.

Demikian juga Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, tidak mempunyai masalah untuk menjelaskan kompaun RM10,000 yang turut dikenakan terhadap beliau, kerana umum mengetahui beliau memiliki banyak wang.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri itu menang di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, mengalahkan dua calon lain dari Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH).

Kementerian Kesihatan (KKM) dalam satu kenyataan hari ini berkata, Rauf dan Zahid dikompaun setelah siasatan dijalankan terhadap video yang tular di media sosial.

“Siasatan yang dijalankan oleh KKM mendapati telah berlaku pelanggaran SOP semasa tempoh PRN Melaka oleh kedua-dua individu tersebut pada 19 November 2021 di kawasan Masjid Tanah,” kata KKM.

Justeru, kompaun di bawah Peraturan 16 P.U(A) 293/2021, Peraturan-Peraturan Pencegahan & Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (Pelan Pemulihan Negara) 2021 bernilai RM10,000 setiap individu telah dikeluarkan.

“Kompaun dikeluarkan berikutan pelanggaran SOP Pencegahan Covid-19 Bagi Pelaksanaan Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Ke-15 iaitu menjalankan aktiviti kempen ziarah rumah ke rumah serta tidak memakai pelitup muka.

KKM berkata SOP Pencegahan Covid-19 bagi PRN itu dikeluarkan pada 7 November 2021 sebagai rujukan agar semua pihak memahami dan mematuhinya.

Ini bagi memastikan pilihan raya itu dijalankan dengan lancar dan mencegah daripada berlakunya penularan jangkitan Covid-19, kata KKM.

“KKM akan terus memantau pematuhan SOP dan tidak teragak-agak untuk mengeluarkan kompaun kepada individu atau organisasi yang melanggar mana-mana SOP,” kata KKM.

BERITA BERKAIT
POPULAR