Rauf jadi faktor kemenangan besar BN, tapi takut umum calon KM?

Walaupun Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dikatakan bakal menjadi faktor penyumbang kemenangan besar Barisan Nasional (BN) di Melaka tetapi pemimpin parti itu masih cuba berdolak-dalik tidak mengumumkan secara rasmi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka itu adalah calon Ketua Menteri (KM) baharu.

Petanda Rauf akan diangkat sebagai pemimpin nombor satu Melaka sudah jelas apabila Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan dan bekas Presiden parti, Datuk Seri Najib Razak sanggup mengiringinya semasa penamaan calon semalam.

Jika Rauf bukan calon KM Melaka mengapa tidak ada pemimpin besar BN bersama mengiringi bekas KM Melaka sebelum ini Datuk Seri Sulaiman Md Ali, apakah istimewanya Rauf berbanding calon-calon BN lain?

Bagaimanapun, Najib yang dilihat panik mengeluarkan kenyataan secara tergesa-gesa menafikan kononnya Rauf adalah calon KM semalam, walaupun tiada kapasiti untuk membuat sebarang keputusan kerana beliau bukannya Pengarah Pilihan Raya BN di Melaka.

“Tak, tak, tak… kita (BN) tentukan Sulaiman saja (sebagai ketua menteri),” jawabnya selepas ditanya media ketika beliau mengiringi Ab Rauf ke pusat penamaan calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara semalam.

Sepatutnya Mohamad yang mengesahkan pendirian BN tidak mencalonkan Rauf dan memilih Sulaiman, bukannya Najib.

Nada jawapan Najib itu pun seakan panik dengan soalan yang diajukan wartawan, namun tidak semudah itu mahu memperbodohkan orang ramai dengan penafian tersebut.

Rauf adalah orang kepercayaan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, mana mungkin Rauf diketepikan sebagai calon KM Melaka.

Malah, sumber memberitahu senarai barisan calon BN kali ini majoritinya dipilih oleh Rauf sehingga menyaksikan penyandang terdahulu disingkirkan walaupun memiliki rekod yang baik.

Alasan paling mudah kononnya mahu memberi laluan kepada muka baharu untuk bertanding, tetapi sebenarnya ia adalah bagi memberikan laluan mudah kepada Rauf untuk naik menjadi KM Melaka.

Jika BN tidak mahu mencalonkan Rauf sebagai calon KM Melaka, mengapa pula beliau diletak bertanding di kerusi selama DUN Tanjung Bidara. Bukankah itu juga satu lagi petunjuk jelas bahawa Rauf sengaja diletak di kerusi senang menang bagi memastikan kemenangan miliknya dan kemudiaan diangkat menjadi KM Melaka yang baharu.

Bagaimanapun, kenyataan Najib tersebut dilihat agak janggal kerana Rauf sebenarnya seorang yang berpengaruh dan memiliki sokongan kuat dikalangan akar umbi UMNO, jadi pastinya dapat membawa kemenangan yang besar kepada BN dan UMNO pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini.

Rauf menjadi punca pergaduhan dengan sesama pemimpin UMNO Melaka iaitu bekas ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron yang bertindak menarik sokongan terhadap kerajaan Melaka sehingga tumbangnya kerajaan negeri.

Lebih menguatkan lagi spekulasi Rauf akan dilantik menjadi KM lagi, beliau diletak bertanding di kubu kuat UMNO dan dijangka menang mudah kerana memiliki sokongan saudara maranya di Tanjung Bidara.

Kerusi DUN Tanjung Bidara sebelum ini dimenangi calon UMNO, Datuk Md. Rawi Mahmud yang berjaya mengekalkan kerusi disandang selama dua penggal.

Selain itu, majoriti calon BN kali ini adalah muka baharu, ia juga satu lagi petanda Rauf bakal diangkat sebagai KM kerana kedudukan seniornya.

Rauf menjadi watak utama dalam krisis politik Melaka apabila bertindak membubarkan sidang DUN sehingga memberi laluan kepada PRN terpaksa diadakan.

PRN kali ini menyaksikan 20 calon akan diletak UMNO, lapan diwakili MCA dan satu kerusi MIC.

Di Tanjung Bidara, Rauf akan berdepan perlawanan tiga penjuru melawan calon Perikatan Nasional (PN) Datuk Mas Ermieyati Samsuddin serta calon Pakatan Harapan, Zainal Hassan.

BERITA BERKAIT
POPULAR