Rauf faktor kemenangan besar BN, tapi Zahid nafi Rauf calon KM baharu

Walaupun calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dilihat sebagai faktor kemenangan besar Barisan Nasional (BN) tetapi beliau bukanlah calon Ketua Menteri baharu, kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Pengaruh dan aura Rauf yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Melaka semakin dirasai akan membawa BN memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tetapi itu tidak bermakna akan dilantik sebagai KM baharu, kata Pengerusi BN tersebut.

“Kepada pengundi dan rakyat Melaka, jangan dengar! Jangan termakan dengan fitnah.

“Mana ada ketua menteri sementara sementara, ini bukan cerita main-main! Ini bukan cerita ketua kampung setengah penggal,” katanya dalam hantaran Facebook.

Zahid mempertahankan pencalonan Datuk Seri Sulaiman Md Ali sebagai calon KM dan bukannya Rauf, disamping menegaskan spekulasi berhubung Rauf akan dilantik sebagai KM adalah tidak benar.

Sulaiman dinamakan sebagai calon KM Melaka sekiranya BN diberi mandat untuk membentuk kerajaan oleh rakyat dalam PRN pada Sabtu ini (20 Nov).

Agenda Daily difahamkan, Rauf yang sebelum ini dilantik sebagai Speaker DUN Melaka adalah individu berkebolehan untuk menggalas tugas itu kerana peranannya dalam pentadbiran negeri sebelum ini.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu Ab Rauf tidak dicalonkan, namun setelah kerajaan Pakatan Harapan (PH) Melaka tumbang pada Mac 2020, beliau dilantik sebagai Speaker DUN.

Rauf yang sebelum ini dikatakan kerap memberi tunjuk ajar kepada Sulaiman yang ketika itu menjadi KM, bagaimana untuk mentadbir negeri, mengundang keresahan beberapa Ahli Exco, termasuk Datuk Seri Idris Haron dan Datuk Nor Azman Hassan, kedua-duanya bekas wakil rakyat UMNO.

Sementara itu, Pakatan Harapan (PH) pula menamakan Adly Zahari yang bertanding di kerusi DUN Bukit Katil manakala Perikatan Nasional (PN) sehingga kini tidak menamakan sesiapa bagi jawatan berkenaan.

Sulaiman, yang juga penyandang di kerusi DUN Lendu ditentang Mejar (B) Abdullah Mahadi daripada (PN) dan Mohamad Asri Ibrahim (PH).

PRN Melaka diadakan berikutan pembubaran DUN pada 4 Okt lepas selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap Sulaiman.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada Sabtu ini.

BERITA BERKAIT
POPULAR