Rauf diletak kerusi paling senang menang, sah bakal KM Melaka baharu

Jawatan Ketua Menteri (KM) Melaka semakin pasti menjadi milik Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh jika berjaya menang Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 20 November ini.

Rauf dijangka menang mudah selepas pengumuman senarai calon hari ini yang menyaksikan namanya diletak bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara, ia dikenali sebagai kubu kuat UMNO selama ini.

Kerusi DUN Tanjung Bidara sebelum ini dimenangi calon UMNO, Datuk Md. Rawi Mahmud yang berjaya mengekalkan kerusi disandang selama dua penggal.

Mengambikira faktor tersebut, Rauf perlu diletak di kerusi yang mudah menang bagi membolehkannya dapat menjadi KM baharu.

Dengan meletak Rauf di Tanjung Bidara, ia adalah isyarat yang jelas dan secara tidak langsung mengesahkan laporan Agenda Daily sebelum ini beliau adalah calon KM yang dipilih oleh Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Selain itu, hampir majoriti calon Barisan Nasional (BN) kali ini adalah muka baharu, ia juga satu lagi petanda Rauf bakal diangkat sebagai KM jika menang PRN ini.

Rauf menjadi watak utama dalam krisis politik Melaka apabila bertindak membubarkan sidang DUN sehingga memberi laluan kepada PRN terpaksa diadakan.

Dalam pada itu, Rauf juga didakwa menjadi punca utama kepada tindakan penarikan sokongan empat ADUN diketuai Datuk Seri Idris Haron (Sungai Udang) yang tidak berpuas hati kerana dikatakan mengawal KM Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Sulaiman didakwa mengikut telunjuk Rauf disamping lemah dalam menguruskan pentadbiran kerajaan negeri, menurut Idris.

Dalam pengumuman calon PRN Melaka hari ini, Pengarah Pilihan Raya BN Datuk Seri Mohamad Hasan memberitahu 20 calon akan diletak UMNO, lapan diwakili MCA dan satu kerusi MIC, serta memberi keyakinan akan menang besar kali ini.

Daripada jumlah itu, 24 calon atau 86 peratus adalah calon muka baharu dan ia tidak pernah dilakukan BN dalam mana-mana pilihan raya sebelum ini, kata Mohamad lagi.

 

BERITA BERKAIT
POPULAR