Rauf dakwa kerajaan UMNO jaga Melaka lebih baik, terlupa 4 ADUN tarik sokongan

Calon Ketua Menteri (KM) Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mendakwa kerajaan UMNO semasa memerintah negeri Melaka lebih baik berbanding kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

Rauf yang juga calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara itu berkata banyak perubahan yang berjaya dijalankan semasa UMNO memerintah negeri Melaka sehingga menyebabkan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan menarik sokongan sehingga jatuh kerajaan dipimpin UMNO tersebut.

Dalam pada itu, Rauf berkata yakin Barisan Nasional (BN) berpeluang menang besar kerana pengundi bijak menilai mana satu kerajaan yang lebih baik.

“Ketika kita mengambil alih kerajaan negeri Melaka selepas 22 bulan ditadbir PH dan diuruskan oleh kami yang majoritinya daripada Umno, pentadbiran ini telah diterima oleh rakyat,” katanya.

“Melihat kepada sebuah kerajaan yang berlandaskan konsep toleransi kaum, BN telah berjaya meyakinkan rakyat bahawa ia kerajaan yang begitu baik,” katanya dipetik dalam satu laporan media.

Kerajaan UMNO di Melaka tumbang susulan tindakan empat ADUN diketuai wakil rakyat UMNO kawasan Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron, pada 4 Oktober lalu yang mengumumkan keputusan mereka menarik sokongan kepada KM Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Tiga yang lain ialah Datuk Nor Azman Hassan (UMNO-Pantai Kundor); Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu); dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).

Susulan penarikan sokongan itu, Mohd Ali membubarkan DUN setelah mendapat nasihat Sulaiman.

Idris mengkritik Rauf sebagai punca berlakunya kejatuhan kerajaan Melaka yang didakwanya menguasai kerajaan pimpinan Sulaiman.

Rauf juga disebut-sebut sebagai calon KM Melaka yang baharu jika BN berjaya memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, malah pemimpin utama UMNO juga dilihat sentiasa bersama Rauf dalam kempen di negeri tersebut.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 8 November lalu sebagai hari penamaan calon, diikuti 16 November bagi pengundian awal dan 20 November pengundian biasa.

BERITA BERKAIT
POPULAR