Rasuah, salah laku disebabkan BN dan UMNO berleluasa: Hadi Awang

Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang menyeru bangsa Johor supaya melakukan perubahan kepemimpinan kerajaan negeri ke arah yang lebih baik dengan memilih Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Mac ini.

Menurutnya selama 60 tahun lebih pemerintahan Barisan Nasional (BN) dan UMNO telah berlaku penyalahgunaan kuasa, salah laku dan rasuah, yang menyebabkan pentadbiran parti itu perlu diubah.

“Hari ini kita melihat penyakit rasuah dan salah laku berleluasa dalam masyarakat. Nabi Muhammad SAW telah meninggalkan petunjuk kepada kita bahawa Allah SWT melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah.

“Penyakit rasuah ini harus kita hapuskan daripada terus merebak ke dalam masyarakat,” katanya pada ceramah umum sempena PRN Johor di bilik gerakan PAS kawasan Bakri di Muar, malam tadi.

Malah, katanya ahli UMNO sendiri mahukan perubahan dan telah melakukan dengan meninggalkan parti itu.

“Orang UMNO nak buat perubahan… menyebabkan orang UMNO meninggalkan UMNO dan tubuh parti Bersatu.

“Tun Dr Mahathir (Mohamad)… Tan Sri Muhyiddin (Yassin) ikut bersama menolak UMNO,” katanya. Beliau dipercayai merujuk kepada langkah kedua-dua pemimpin itu yang mahu melakukan perubahan setelah terbongkar salah laku dan rasuah dilakukan pemimpin atasan UMNO, khususnya berkaitan skandal 1MDB.

Dua pemimpin utama UMNO dan BN yang sekarang ini berdepan tindakan undang-undang ialah bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Kedua-duanya berdepan puluhan tuduhan jenayah rasuah, penyelewengan, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan berbilion-bilion ringgit yang dilakukan ketika mereka menjadi Perdana Menteri, Menteri Kewangan, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri ketika BN memerintah sebelum 2018.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi yang juga Utusan Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah bertaraf menteri berkata pada Pilihan Raya Umum Ke-14, Pakatan Harapan (PH) menang dengan manifesto tidak masuk akal, disebabkan rakyat menolak BN dan mahu melakukan perubahan.

“Sehinggakan janji mereka (PH) hanya tinggal janji, malah mencabar kedaulatan Islam dan institusi diraja. Akhirnya kita berjaya membuat perubahan di peringkat nasional dengan mengubah kerajaan daripada Pakatan Harapan kepada Perikatan Nasional,” katanya lagi.

Ahli Parlimen Marang itu menjelaskan sepanjang pemerintahan PN, gabungan parti itu banyak memberi bantuan kepada rakyat yang ditimpa musibah, termasuk yang paling teruk ketika rakyat menghadapi wabak Covid-19 dan banjir.

Sehubungan itu, beliau mengajak semua kaum di Johor untuk melakukan perubahan dengan memilih calon PN yang lebih berintegriti, berkebajikan dan tidak terpalit dengan penyakit rasuah serta salah laku.

“Jangan salah pilih lagi,” pesan Abdul Hadi.

BERITA BERKAIT
POPULAR