Rangkuman PAU: Zahid semakin kuat, tapi UMNO semakin lemah

January 15, 2023 · Politik

Berakhir sudah Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 yang berakhir semalam dengan penuh drama sinetron dan tidak kurang juga penipuan demi penipuan diteruskan demi kepentingan peribadi individu tertentu dalam parti yang rakus hendak terus berkuasa.

PAU yang sepatutnya menjadi tempat berkumpul terbesar bagi membincangkan masalah dan masa depan orang Melayu bertukar menjadi perhimpunan menyelamatkan pemimpin tertinggi untuk terus berkuasa walaupun sudah mengalami kecelakaan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu.

Daripada awal lagi sudah dijangka bakal terdapat komplot untuk memastikan kedudukan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dicabar pada pemilihan yang akan berlangsung, ia disusun dengan penuh licik dan tipu helah bagi memastikan kehendak pemimpin atasan parti dipenuhi.

Alasan kononnya mahu memastikan parti tidak berpecah adalah sama yang digunakan sebelum PRU-15 lalu dan ia diulang semula digunakan hanya semata-mata untuk memastikan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi terus menguasai UMNO.

Sebelum ini, alasan tersebut digunakan kononnya bagi memastikan UMNO kuat untuk menghadapi PRU-15 tetapi lihat apa yang jadi selepas itu, UMNO tergolek dan kalah teruk apabila hilang lebih banyak kerusi sehingga terpaksa melutut kepada seteru tradisi semata-mata mahu berada dalam kerajaan.

Malangnya, Zahid enggan pula mengaku kesalahan dan kesilapan yang menjadi punca utama kekalahan UMNO pada PRU-15 lalu dan tidak mahu berundur seperti yang dilakukan oleh Datuk Seri Najib Razak lalu.

Disalahkan pula kepada ‘poster boy’ sebagai punca kepada kekalahan UMNO pada PRU-15 lalu dan Zahid tidak pernah melakukan kesalahan.

Namun, siapakah dalang dan watak utama yang mendesak supaya PRU-15 disegerakan sebelum ini, siapakah yang beria-ria mengadakan perhimpunan raksasa sebelum ini bagi mendesak Perdana Menteri Kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membubarkan Parlimen?

Adakah Zahid ingat rakyat melupakan semua perkara yang pernah dilakukannya sebelum ini terhadap Ismail Sabri?

Bukankah Ismail Sabri sebelum ini sudah memberi amaran dan menasihati supaya tidak diadakan PRU-15 dengan segera kerana UMNO belum cukup bersedia dan musim banjir semakin tiba ketika itu?

Siapakah yang berdegil dan memberi tekanan dengan penuh emosi dan amarah kepada Ismail Sabri sehingga didakwa terdapat ugutan untuk memecatnya jika tuntutan membubarkan Parlimen tidak ditunaikan?

Tapi semua ini bukan salah Zahid, yang salah adalah orang lain sehingga UMNO tinggal 20 kerusi lebih sahaja selepas PRU-15 lalu.

PAU yang berlangsung selama empat hari ini adalah sia-sia, UMNO tidak membincangkang langsung masalah dihadapi rakyat, isu kos sara hidup, isu ekonomi, isu sosial dan kebajikan rakyat semua diletak tepi pada perhimpunan kali ini.

Sebaliknya UMNO lebih sibuk mencari jalan dan merancang untuk menyelamatkan pemimpin atasannya yang mempunyai kepentingan peribadi sehingga terlupa tanggungjawab utama mereka kepada orang Melayu.

Para perwakilan UMNO juga sudah tidak segarang dan seberani dahulu dalam memperjuangkan hak orang Melayu, mungkin disebabkan mereka terpengaruh dengan dakyah pemimpin parti yang sudah mensucikan DAP selepas menjalinkan kerjasama dengan musuh utama itu.

Malah, ucapan Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan semasa pembukaan sidang sayap pada PAU secara tidak langsung memberi isyarat jelas kepada perwakilan supaya berhenti daripada memusuhi DAP dan menerima keputusan parti untuk menyokong kerajaan campuran Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Jadi, tidak hairanlah semasa PAU baru-baru ini tiada perwakilan mengkritik atau mengkecam DAP dalam ucapan mereka, penyucian tersebut sudah berjaya dan UMNO kini boleh duduk sekatil dengan musuh mereka itu.

Pemimpin atasan UMNO mengajar ahli-ahli UMNO untuk menjilat ludah mereka sebelum ini dan doktrin tersebut dilihat berjaya sehingga terpaksa ego sebelum ini yang terlalu membencikan DAP.

Jika suatu ketika dahulu, UMNO dilihat boleh diharapkan untuk menjadi tempat orang Melayu berpaut dalam membela nasib mereka, namun UMNO sekarang sudah berubah dan tidak boleh lagi diharapkan untuk bergantung.

UMNO kini menjadi parti yang mementingkan kuasa dan menjadi sebuah syarikat persendirian yang digunakan untuk tujuan peribadi bagi golongan elit dalam parti itu.

Penolakan rakyat terhadap UMNO semasa PRU-15 tidak dijadikan iktibar dan pedoman, malah UMNO semakin menjadi lebih angkuh dan sombong sehingga ruang demokrasi dalam parti mahu ditutup.

Langkah untuk tidak mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden menjadi bukti UMNO masih tidak berubah dan masih dalam sindrom penafian walaupun sudah ditolak teruk pada pilihan raya lalu.

Jika jawatan Presiden dan Timbalan dipertandingkan, ia sekurang-kurangnya dapat memberi nafas baharu kepada parti untuk melakukan perubahan pada masa depan tetapi nampaknya sebarang pembaharuan yang ingin dilaksanakan tidak disenangi oleh pemimpin elit UMNO yang merasakan tergugat jika terpaksa bersaing dalam pemilihan parti nanti.

Golongan elit dalam UMNO tidak mahu kedudukan mereka tergugat dengan kehadiran pencabar dalam pemilihan parti, malah masing-masing masih terlalu kemaruk berkuasa.

Pastinya keputusan meluluskan usul jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan akan menjadikan Zahid lebih kuat dan dapat menguasai parti secara total, tetapi realitinya UMNO akan menjadi semakin lemah berbanding sebelumnya.

Jika PRU-15 lalu UMNO kehilangan banyak kerusi tradisi yang dimenanginya, tidak mustahil akan lebih banyak kerusi bakal hilang pada PRU-16 dan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal diadakan tidak lama lagi.

Zahid mungkin lebih kuat apabila berjaya mengekalkan jawatan Presiden, namun secara realitinya UMNO akan menjadi semakin lemah apabila rakyat semakin menyampah dan meluat melihat corak politik yang diamalkan dalam parti tersebut.

Ahli-ahli UMNO perlu sedar sebelum terlewat, jika begini cara mereka berpolitik, kelak rakyat akan menolak mereka secara total.

Faktanya, UMNO akan semakin lemah selepas keputusan mengekalkan Zahid sebagai Presiden selama sepenggal lagi dan masa depan semakin gelap pada masa depan.

Mampukah UMNO berdepan badai dan penolakan rakyat yang lebih besar selepas ini?

Berita berkaitan
MUDA kecil hati tak dijemput ke mesyuarat di pejabat UMNO, tapi logo di poster ada
8 jam lalu· Politik
Jangan tunduk dengan pekebun haram Musang King disokong DAP: Pemuda PAS Pahang
8 jam lalu· Isu semasa
Kemiskinan berleluasa, ketidakstabilan ekonomi akibat rasuah
15 jam lalu· Isu semasa
1MDB: Pendakwaan tarik balik rayuan lucut hak, wang UMNO disita dipulangkan
February 7, 2023· Isu semasa
Popular
KJ, Annuar, Noh bakal sertai PAS?
February 7, 2023
Sertai Bersatu, tawan Selangor atau Negeri Sembilan, KJ boleh jadi MB
February 8, 2023
Bila jembalang jadi rakan, Melayu bangkit pertahan agama, bangsa
February 8, 2023
MT tolak maklumat agensi kata UMNO kalah jika PRU-15 awal
February 8, 2023
Lagi Politik terkini
Aminuddin bimbang KJ mungkin tanding PRN Negeri Sembilan
2 jam lalu · Politik
Bila jembalang jadi rakan, Melayu bangkit pertahan agama, bangsa
5 jam lalu · Politik
SPRM boleh siasat akaun bank parti tapi jangan bersifat politik: PAS
5 jam lalu · Politik
Dulu lantang kini diam, MUDA bidas pemimpin PH isu kapal tempur
7 jam lalu · Politik
Kerajaan UMNO-DAP Pahang teruskan agenda ‘dendam politik’
8 jam lalu · Politik
Video / Foto
[VIDEO] Kedah buru sindiket jual tanah, penerima geran jangan tamak
14 jam lalu
[VIDEO] 505 peneroka Pendang akan terima geran tanah
16 jam lalu

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok