
Ketua Penerangan GRS Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.
Lebih ramai ahli Parlimen (MP) pembangkang di Sabah dijangka menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (GRS) diketuai Datuk Seri Hajiji Noor, selepas MP Petagas, Datuk Awang Ahmad Sah Sahari, keluar daripada Parti Warisan Sabah (Warisan).
Ketua Penerangan GRS Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata alasan bekas Bendahari Agung Warisan itu meninggalkan parti berkenaan ialah ‘cukup-cukup’ dalam polemik politik kerana ia tidak membantu rakyat untuk maju.
“Jadi jika ini (alasan) benar, maka mungkin lebih ramai yang akan memilih untuk menyertai GRS,” katanya lapor BornoePost.
Pembantu menteri di Jabatan Ketua Menteri itu ditanya sama ada terdapat lebih ramai ahli atau pemimpin daripada Warisan akan mengambil langkah sama seperti dilakukani Awang Ahmad.
Nizam berkata, wakil rakyat terutamanya daripada Warisan kecewa dengan keadaan dalam parti pimpinan bekas Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Ketika diminta mengulas mengenai hasrat Awang Ahmad menyertai GRS, Nizam secara peribadi berkata, beliau mengalu-alukan keputusan itu.
“Ini adalah petunjuk bahawa perjuangan GRSdi bawah pimpinan Datuk Seri Hajiji adalah sesuatu yang menarik minat rakyat untuk bersatu dan bekerjasama untuk Sabah.
“Fokus GRS adalah untuk membawa pembangunan dan kemajuan kepada negeri ini dan kita tidak mahu terlalu fokus kepada politik kerana ini boleh melemahkan usaha untuk membawa pembangunan kepada rakyat di Sabah,” katanya.
Pada Isnin, Awang Ahmad menjadi wakil rakyat ke-10 dari Warisan yang keluar parti sejak pilihan raya mengejut Sabah pada 2020.
Bekas ketua bahagian Warisan Putatan itu berkata beliau dan penyokongnya menyertai GRS.
Sementara itu, Nizam berkata GRS akan dilancarkan secara rasmi pada 3 Mac di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) bermula jam 7 pagi.
Beliau berkata majlis pelancaran itu akan disempurnakan oleh Hajiji yang juga Presiden GRS.
“Kami berharap rakyat di Sabah yang berkongsi agenda pembangunan parti dan kerajaan negeri akan menyertai kami sambil kami terus memperjuangkan hak rakyat dan negeri,” katanya.
Beliau melahirkan harapan agar rakyat di Sabah akan terus bersatu di bawah GRS bagi memastikan negeri ini terus maju.
Nizam mendedahkan kira-kira 5,000 orang dari seluruh negeri dijangka menghadiri majlis pelancaran itu.