Rakyat Sarawak akan terima bantuan khas jika GPS menang, kata Abang Johari

Jika Gabungan Parti Sarawak (GPS) meraih kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini, Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg menjanjikan rakyat negeri itu bakal menerima Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS 8.0).

Malah, Pengerusi GPS itu berkata akan juga mempertimbangkan permintaan Presiden Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak, Datuk Abang Helmi Ikhwan berhubung kelonggaran syarat permohonan bantuan khas tersebut.

“Saya akan mempertimbangkan permintaan ini memandangkan BKSS ini adalah untuk membantu mereka yang terkesan dengan pandemik Covid-19.

“Kita akan melancarkan BKSS 8.0, harapnya selepas 18 Disember (Hari mengundi), apabila kita mendapat mandat rakyat,” katanya lapor Utusan Malaysia selepas mengadakan sesi townhall malam tadi.

Tambahnya, bilangan kes Covid-19 semakin berkurangan walaupun Sarawak masih dalam Pelan Pemulihan Negara Fasa 3.

Namun, beliau menjangkakan Sarawak akan beralih ke Fasa 4 tidak lama lagi sekali gus ekonomi negeri dapat dibuka sepenuhnya.

PRN Sarawak ke-12 akan diadakan pada 18 Disember dengan hari penamaan calon ditetapkan pada 6 Disember, manakala hari mengundi awal pula pada 14 Disember.

BERITA BERKAIT
POPULAR