
Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional yang juga Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Rakyat perlu mengetahui bahawa Perikatan Nasional (PN) telah menunjukkan kebolehan dan bukti apabila berjaya memimpin negara melaksanakan banyak perkara, kata Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat Malaysia memberi mandat kepada PN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) untuk memerintah bagi membentuk sebuah kerajaan yang benar-benar kukuh dan kuat.
“Alhamdulillah kita (PN) dapat atasi masalah ekonomi dalam keadaan berhempas pulas.
“Ini dapat dilihat sendiri oleh rakyat. Ini rakyat kena tahu PN telah menunjukkan bukti dalam masa pemerintahan berjaya memimpin negara melaksanakan banyak perkara,” katanya pada pelancaran PN Negeri Terengganu, malam tadi.
Timbalan Pengerusi PN itu berkata langkah melancarkan PN di seluruh negara adalah untuk memberi tawaran dan mengajak rakan-rakan daripada Umno serta parti-parti lain ikut sama dalam PN.
“Ini untuk sama-sama mengambil tanggungjawab untuk selamatkan negara, bukan nak rebut kuasa, (tapi) untuk selamatkan negara. Ini tanggungjawab kita semua,” katanya memetik laporan Harakah.
Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang itu berkata Pakatan Harapan (PH) yang menewaskan Barisan Nasional (BN) pada PRU-14 lalu telah menunjukkan dasar ‘tikus membaiki labu’ dalam pemerintahannya.
Mengimbas kembali ketika pentadbiran PH sebelum ini, beliau menjelaskan PAS telah menggerakkan langkah berunding dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang ketika itu berada dalam PH dan mengajak melakukan satu perubahan besar.
“Kerajaan gabungan PKR, DAP, BERSATU dan PAN yang membentuk PH ketika itu, cuba merungkai asas-asas penting dalam Perlembagaan Persekutuan.
“(PH) cabar Islam, cabar hak istimewa orang Melayu. Buat macam-macam nak rungkai. Asas yang penting dalam Perlembagaan, nak dirungkainya. Berani cabar, hina Islam dan macam-macam.
“Akhirnya PAS berunding dengan pimpinan Bersatu dalam PH mengajak buat satu perubahan melalui Parlimen, melalui demokrasi. (Tetapi) Jumlah ahli Parlimen yang cukup.
“Oleh kerana PAS dengan Bersatu sahaja tak cukup, mesti ajak UMNO… berunding dengan UMNO, ajak UMNO sama. Alhamdulillah, terdapat kalangan UMNO yang menerima perubahan ini. Maka berlakulah kerusi yang cukup untuk ubah kerajaan.
“Dan terus-terang dalam perundingan ini PAS mencadangkan Tan Sri Muhyiddin Yassin jadi Perdana Menteri kerana beliau sudah berada dalam kerajaan. Dengan sebab itu kita cadangkan beliau jadi Perdana Menteri.
“UMNO kena ikut… alhamdulillah UMNO ikut. Muhyiddin jadi Perdana Menteri dan kita memerintah. Oleh kerana gabungan ini perlu ada nama. Kita namakan Perikatan Nasional,” katanya.
Abdul Hadi berkata UMNO bagaimanapun enggan menyertai PN di mana hanya mahu bersama PAS sahaja sedangkan gabungan dua parti itu sahaja tidak cukup untuk memerintah kerajaan.
Bahkan PAS katanya, menerima penubuhan Muafakat Nasional (MN) dengan syarat ia menggabungkan tiga parti besar Melayu dan Bumiputera, iaitu bukan hanya PAS dengan UMNO sahaja.
“Ini gabungan MN. Dalam masa yang sama diajak kaum-kaum lain, parti bukan Islam dalam gabungan PN, dua gabungan. Ini cadangan kita. Bila kita tekan UMNO, (mereka) terima Bersatu masuk MN.
“(Tetapi) Bila sampai masa nak lancar, dia (UMNO) tangguh-tangguh. Bukan kita yang tangguh, UMNO yang tangguh. Pimpinan dia yang tangguh-tangguh, bukan semua pimpinan. Pimpinan yang paling tinggi tangguh.
“Tak boleh nak buat. Dia buat masalah, UMNO buat masalah. Dia nak buat jajaran baru, macam-macam, tapi tak dapat sokongan daripada semua ahli-ahli UMNO,” katanya lagi.
Abdul Hadi juga menjelaskan demi mempertahankan kerajaan, maka PN terpaksa mencadangkan Muhyiddin meletak jawatan Perdana Menteri secara terhormat, bukan untuk merebut jawatan.
“Bukan mudah nak letak jawatan Perdana Menteri ni. Letak jawatan oleh kerana tolak ansur, kita terima Perdana Menteri daripada UMNO untuk memimpin negara. Maka pemerintahan boleh dilangsungkan.
“Padahal dalam masa PN itu banyak perkara yang boleh kita buat. Kalau dulu UMNO ada masalah-masalah, terpaksa berhenti. PH (juga) tak boleh laksanakan tugas. Banyak manifesto dia, janji-janji tak boleh, janji yang mustahil, tak boleh buat.
“Semua rakyat tahu ini, janji bohong, tak boleh buat, menyebabkan rakyat serba salah, maka berlakulah perubahan kepada PN. Masa PN kita tak ada manifesto.
“Kita ada agenda menghadapi masalah wabak (Covid-19), menghadapi masalah ekonomi, menghadapi masalah, semua kita dapat hadapi dengan sebaik-baiknya.
“Walaupun dunia dilanda oleh krisis wabak, dilanda oleh krisis ekonomi. Dunia dilanda krisis ekonomi, bukan Malaysia saja. Oleh kerana Malaysia duduk dalam dunia, Malaysia kena samalah,” katanya.