Rakyat kena hidup dengan Covid-19, Kit Siang beri amaran kepada SPR

Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang memberi amaran kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya tidak mengenakan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang ketat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Kit Siang sebaliknya berkata rakyat perlu hidup bersama dengan Covid-19 dan SPR tidak wajar menjadikan alasan penularan wabak tersebut dengan menghalang sebarang bentuk kempen secara fizikal semasa PRN yang berlangsung pada 20 November ini.

“Tiada sebab untuk Kementerian Kesihatan dan SPR mengenakan larangan menyeluruh terhadap proses kempen secara fizikal dengan syarat SOP Covid-19 untuk mengekang penularan dipatuhi sepenuhnya.

“Kita perlu hidup dengan Covid-19 dalam tempoh peralihan antara fasa pandemik kepada fasa endemik, tetapi perkara ini tidak bermakna SPR boleh mengambil tindakan melampau dengan melaksanakan larangan menyeluruh kepada proses berkempen dan membenarkan pilihan raya yang tidak telus dan adil berlangsung,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau juga berkata SPR perlu memastikan pengundi keluar untuk mengundi pada PRN Melaka dan Sarawak nanti.

“Adalah menjadi tanggungjawab SPR memastikan terdapat kadar keluar mengundi yang tertinggi dalam PRN Melaka dan Sarawak nanti sambil memastikan SOP Covid-19 yang ada mengekang penularan wabak ini,” katanya lagi.

Rabu lalu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan supaya proklamasi darurat negeri Sarawak ditamatkan.

Dengan penamatan darurat, ia akan membuka jalan supaya pilihan raya negeri dapat diadakan dalam tempoh tempoh 60 hari daripada tarikh hari tersebut.

Dalam pada itu, PRN Melaka juga akan berlangsung pada 20 November ini.

BERITA BERKAIT
POPULAR