
Timbalan Menteri Pertahanan yang juga Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.
Jika keuntungan politik yang Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli untuk cuba meraih undi daripada fitnah yang ditabur, percayalah rakyat bijak menilai berdasarkan kenyataan dan tindakan berani saya, kata Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.
Menurut calon Perikatan Nasional Parlimen Tanah Merah itu Rafizi berusaha untuk memburukkan pasukan lawan apabila menyedari serta merasai gelombang sokongan kepada Perikatan Nasional semakin meningkat.
“Tiada strategi lain yang dapat difikirkan oleh Rafizi dalam tempoh yang kritikal ini melainkan menabur fitnah. Tujuannya didakwa membawa rakyat berhalusinasi bersama beliau membuat andaian bahawa orang lain tidak bersih dan hanya dirinya yang suci murni.
“Rakyat tidak mudah percaya dengan dakyah dangkal sebegini. Satu jari ditunjukkan kepada orang lain, empat jari menghala kepada kamu. Melalui kenyataan media pada 7 Oktober dan terbaru pada 8 November lalu, saya berulang kali nafikan pembabitan dalam proses perolehan Self-Propelled Howitzer (SPH) seperti yang didakwa Rafizi.
“Malah, laporan polis dibuat berkenaan perkara ini pada 7 Oktober lalu. Saya tidak takut untuk membuat laporan kerana sememangnya tidak terbabit perkara itu dan ianya adalah fitnah yang direka untuk memburukkan nama baik serta kredibiliti saya sebagai timbalan menteri semata-mata.
“Sebelum ini, saya berkali-kali menekankan bahawa semua perolehan aset di Kementerian Pertahanan perlu melalui proses kerja yang ketat dan mesti dipersetujui terlebih dulu oleh pihak terakhir iaitu Tentera Darat Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia.
“Tiada sesiapa yang boleh mempengaruhi kebijaksanaan pihak terbabit dalam mendapatkan aset yang terbaik untuk pertahanan negara,” katanya menurut BH, hari ini (17 November 2022).
Beliau berkata, Rafizi bukan sahaja cuba menidakkan kenyataannya, malah ‘menggelupur’ apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu syarikatnya, Invoke Solutions Sdn Bhd.
“Bukan main marah lagi dia bila SPRM masuk buat siasatan. Sepatutnya Rafizi memberi kerjasama sepenuhnya kepada SPRM sekiranya tidak bersalah, bukannya mempersoalkan tindakan siasatan. Kamu yang isytihar harta yang meragukan, tapi bila orang siasat kamu marah pula. Kelakar sungguh.
“Kepada seluruh rakyat Malaysia, saya mengingatkan semua untuk menolak politik fitnah sebegini dan mari keluar beramai-ramai menunaikan hak (mengundi) pada 19 November. Kepada Rafizi, sudah-sudahlah,” katanya.
Sehubungan itu, Ikmal Hisham berkata Rafizi perlu memaparkan permohonan maaf secara terbuka serta membayar kos ganti rugi am dan teladan sebanyak RM500,000 bagi membersihkan kembali nama dan isteri yang tercalar.
Ikmal Hisham yang juga berkata, ia antara tiga perkara yang dituntut dalam notis menerusi surat tuntutan (LOD) yang dihantar kepada Rafizi, semalam (16 November 2022).
Dua lagi perkara ialah memadam pernyataan fitnah ke atas Ikmal Hisham dan isteri serta berhenti menyebarkan dan mengulanginya.