
Bekas ketua penerangan UMNO, Isham Jalil.
Parti keramat Melayu, UMNO berdepan risiko kehilangan sokongan akar umbi jika terus-menerus membuat desakan agar ahlinya menyokong calon DAP pada pilihan raya negeri (PRN), akan datang.
Ahli Majlis Kerja Tertingginya (MKT), Isham Jalil berkata walaupun UMNO berada dalam kerajaan campuran bersama DAP namun katanya hati akar umbi tetap perlu dijaga kerana permusuhan selama 60 tahun antara dua parti itu tidak boleh dilenyapkan dengan sekelip mata.
“Hubungan UMNO-DAP ini sensitif. Perbalahan UMNO-DAP selama 60 tahun, ia tak boleh dalam enam bulan awak macam ini (petik jari) suruh DAP jadi kawan baik, saya rasa itu tidak masuk akal.
“Kita tak boleh hilang undi asas kita. Kita nak kejar undi orang (DAP), undi sendiri yang dikendong hilang, kita habis nanti. Puji melambung DAP itu tak payahlah, nanti penyokong kita kecil hati dan jadi masalah kepada kita. Hentikan suruh orang kita undi DAP.
“Calon DAP tidak perlu undi Melayu untuk menang. Yang jadi masalah kawasan PKR dan Amanah juga kawasan kita (UMNO) bertanding,” katanya.
Baru-baru ini, Ahli MKT UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dilaporkan berkata pengundi UMNO perlu memilih calon daripada kerajaan perpaduan pada PRN tanpa mengira calon tersebut daripada parti mana termasuk DAP.
Menurutnya, gesaan tersebut bukan atas nama parti tertentu sebaliknya atas nama kerajaan perpaduan serta titah Yang di-Pertuan Agong dalam menjaga kestabilan politik negara.
Dalam pada itu, beberapa pemimpin UMNO lain turut menyifatkan seruan itu tidak salah kerana kini mereka bersama DAP dalam kerajaan campuran.
Isham turut mengingatkan keputusan PRN di enam buah negeri itu penting sebagai cerminan kekukuhan kerajaan campuran itu yang dibentuk dengan Paktan Harapan (PH) selepas tiada parti yang memenangi majoriti pada PRU-15 lalu.
“Jika eksperimen ini tak menjadi, apa akan jadi? Kita bermasalah, kerajaan perpaduan pun bermasalah.
“Agihan kerusi antara parti sekutu dalam kerajaan perpaduan khususnya antara komponen PH dan UMNO juga akan menunjukkan sejauh mana mereka ikhlas dengan kita,” katanya.
Bekas ketua penerangan UMNO itu juga mengatakan kerajaan perpaduan yang dibina BN dengan PH itu masih rapuh kerana ideologinya berbeza.
“Gabungan yang bertahan perlu berasaskan ideologi tapi sekarang ia bertentangan. DAP dan PH ini ideologinya liberal memperjuangkan asimilasi, kita UMNO perjuangkan integrasi.
“Asimilasi itu orang minoriti perlu asimilate golongan majoriti. Kita tak buat begitu. Kalau tanya orang Cina dan India pun mereka tak mahu diasimilasi ini seperti yang berlaku di Indonesia, nama pun kena buang,” katanya.
Beliau tidak mahu UMNO menerima nasib seperti parti Liberal Demokrat di United Kingdom pada 2015 yang ditolak penyokongnya selepas bergabung dengan parti musuh, Konservatif untuk membentuk kerajaan pada 2010.
“Nick Clegg gagal kekalkan sokongan penyokong tegar dan hilang 49 kerusi pada pilihan raya 2015 selepas lima tahun bergabung dengan Konservatif. Tinggal lapan kerusi saja.
“Jadi kita tak nak perkara ini berlaku kepada UMNO, sebab itu saya kata perkara ini perlu dilihat dengan berhati-hati,” katanya.